TAMBUNAN: Kempen antibuli secara besar-besaran dan lebih aktif perlu diperhebatkan di semua sekolah bagi memastikan pelajar memahami implikasi perbuatan itu termasuk kesalahan yang boleh dikenakan mengikut undang-undang.
Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Tambunan Datuk Victor P. Paut berkata ia penting berikutan gejala buli yang dilihat semakin membimbangkan dan berlaku tanpa mengira lokasi sama ada di bandar mahupun luar bandar.
Katanya, pelajar perlu didedahkan secara menyeluruh mengenai Akta Antibuli termasuk hukuman yang boleh dikenakan terhadap pelaku serta kesan psikologi yang dialami mangsa.
“Kita pernah dikejutkan dengan beberapa kes buli berprofil tinggi termasuk membabitkan pelajar sekolah berasrama penuh, institusi tahfiz, akademi latihan serta kejadian terbaru yang dilaporkan berlaku di sebuah sekolah di Tenom.
“Malah media sosial turut memaparkan pelbagai insiden buli yang dirakam dan dikongsi secara terbuka seolah-olah pelaku tidak menyedari kesan serta kesalahan dilakukan.
“Justeru itu saya menyokong penuh sekiranya pihak berkuasa seperti Polis dengan dokongan penuh pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan semua sekolah mengadakan kempen jelajah antibuli berupa ceramah berkait akta dan kesalahan buli ini,” katanya dalam kenyataan, Rabu.
Victor yang juga Timbalan Pengerusi Sawit Kinabalu dan Borneo Samudera berkata, walaupun kebanyakan sekolah sudah melaksanakan kempen antibuli, pendekatan sedia ada perlu diperkukuhkan lagi supaya lebih berkesan dalam membendung gejala berkenaan.
Ini kerana katanya, pendedahan berkaitan undang-undang, tindakan yang boleh diambil terhadap pembuli serta kesan emosi kepada mangsa mampu menjadi faktor pencegahan yang lebih efektif.
“Apabila pelajar diberikan kefahaman yang jelas mengenai akibat perbuatan buli termasuk hukuman yang boleh dikenakan, kecenderungan untuk terlibat dalam gejala itu dapat dikurangkan,” tegasnya.
Victor turut menyeru ibu bapa supaya memainkan peranan lebih aktif dengan memantau perubahan tingkah laku anak-anak dan sentiasa berkomunikasi dengan mereka.
Katanya tanda-tanda seperti kemurungan, hilang minat untuk ke sekolah atau perubahan emosi yang ketara tidak boleh dipandang ringan kerana ia mungkin petunjuk bahawa seseorang pelajar menjadi mangsa atau terbabit dalam kegiatan buli.
“Hubungan yang rapat antara ibu bapa dan anak bukan sahaja membantu mengenal pasti masalah lebih awal, malah mampu mengukuhkan ikatan kekeluargaan serta mewujudkan persekitaran yang lebih selamat untuk anak-anak berkongsi masalah mereka,” katanya.
Terdahulu, tiga individu dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tenom bagi membantu siasatan video yang tular di media sosial melibatkan seorang murid yang dipukul dan ditarik rambut dalam satu kejadian di sebuah sekolah di daerah itu, baru-baru ini.