TAWAU: Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah (KBSK) akan menganjurkan akan menganjurkan Festival Komuniti Havoc: Tayangan Skrin Besar Piala Dunia Fifa 2026 bertemakan ‘Sorak Bersama KBSK Raikan Piala Dunia’ di Tawau dan Kota Kinabalu.
Menterinya Datuk Nizam Abu Bakar Titingan
(gambar) berkata program yang dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Persekutuan Sabah itu menjadi platform menyemarakkan semangat kesukanan, mengukuhkan perpaduan komuniti serta membuka peluang ekonomi kepada usahawan belia.
Katanya, festival itu akan berlangsung di dua lokasi utama iaitu Arena Belia Tawau dan Kompleks Sukan Kota Kinabalu, Likas membabitkan tiga tayangan langsung perlawanan penting kejohanan itu.
Menurutnya, tayangan pertama membabitkan perlawanan pusingan 16 dijadualkan pada 8 Julai di Arena Belia Tawau manakala tayangan perlawanan penentuan tempat ketiga pada 19 Julai dan perlawanan akhir pada 20 Julai akan berlangsung di Dewan Berbumbung Kompleks Sukan Kota Kinabalu.
“Inisiatif ini bukan sekadar memberi peluang kepada masyarakat menikmati suasana Piala Dunia secara bersama, malah menjadi medium menggalakkan penyertaan aktif belia dalam aktiviti sukan serta membuka ruang kepada usahawan belia menjana pendapatan,” katanya pada sidang media penganjuran festival itu di Dewan Arena Belia Tawau di sini, Ahad.
Nizam berkata festival di Tawau akan bermula pada petang 7 Julai (Rabu) sehingga tamat perlawanan pusingan 16 pada awal pagi 8 Julai (Khamis) dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk jamuan BBQ, gerai jualan usahawan, pertandingan domino, e-sukan Fifa, pertandingan freestyle dan juggling bola, kuiz interaktif, pertandingan teka skor, cabutan bertuah serta bicara santai bola sepak.
Di Kota Kinabalu pada 19 dan 20 Julai bakal menampilkan lima zon utama iaitu Sport Experience Zone, Komuniti Hub Zone, Food Street Zone, Fan Experience Zone dan Hibok Community Zone.
Antara pengisian termasuk cabaran sepakan penalti, pertandingan functional fitness, pameran agensi dan usahawan, photo booth 360 darjah, persembahan busking, pertandingan freestyle juggling, jualan Rahmah, food truck, pertandingan e-sukan Mobile Legends dan PUBG Mobile.
Selain itu, sesi bertemu pemain Sabah FC, podcast sukan, pertandingan teka gol serta tayangan langsung perlawanan penentuan tempat ketiga dan final Piala Dunia akan turut diadakan.
Justeru, beliau menjemput seluruh rakyat Sabah tanpa mengira usia untuk bersama-sama merasai kemeriahan dan aura Piala Dunia seolah-olah berada di stadium di negara tuan rumah iaitu Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada.
“Kita mahu seramai mungkin hadir memeriahkan program ini kerana lebih ramai pengunjung, lebih banyak peluang perniagaan dapat dinikmati oleh usahawan belia yang membuka gerai sepanjang festival berlangsung,” katanya.