PENAMPANG: Upko Penampang sebulat suara meluluskan usul jawatan presiden dan timbalan presiden parti tidak dipertandingkan bagi penggal pemilihan parti kali ini.
Usul yang dibentangkan oleh Ketua Cawangan Upko Tulung Felix Sikou itu diluluskan pada Mesyuarat Perwakilan Tritahunan parti yang berlangsung di Dewan Ramayah pada Sabtu.
Felix berkata cadangan itu bukan bertujuan menjejaskan amalan demokrasi dalam parti sebaliknya bagi memastikan kestabilan, perpaduan dan tumpuan ketika Upko membuat persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-17 (PRU17).
Beliau berkata landskap politik semasa memerlukan kepimpinan yang stabil bagi memastikan operasi parti tidak terganggu.
“Sekiranya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan bagi penggal ini, kepimpinan serta ahli-ahli parti dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha memperkukuh organisasi, memperluaskan sokongan rakyat serta mempersiapkan jentera parti di semua peringkat bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang,” katanya ketika membentangkan usul itu.
Beliau berkata jawatan-jawatan lain dalam parti masih dibuka untuk dipertandingkan bagi memberi ruang kepada kemunculan pemimpin baharu sekali gus membuktikan komitmen berterusan parti terhadap amalan demokrasi.
Felix berkata usul itu juga bertujuan memelihara perpaduan dalam parti serta memastikan kesinambungan kepimpinan sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum akan datang.
“Perjuangan kita bukan sekadar memilih pemimpin tetapi memastikan Upko terus menjadi wadah yang kukuh dan bersatu untuk rakyat Sabah serta bersedia menghadapi cabaran politik pada masa depan,” katanya.
Mesyuarat itu telah dirasmikan oleh Presiden Upko Datuk Ewon Benedick.
Dalam mesyuarat sama perwakilan turut meluluskan usul menggesa kepimpinan parti memperjuangkan pertambahan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) di Penampang menerusi proses persempadanan semula kawasan pilihan raya.
Ketua Pemuda Upko Penampang Billy Joe Dominick mencadangkan supaya diwujudkan kerusi Parlimen baharu Kapayan yang merangkumi kawasan Dun Bahang dan Ganang manakala kerusi Parlimen Penampang meliputi kawasan Moyog dan Limbanak.
Beliau berkata pertambahan kerusi itu perlu berikutan pertumbuhan penduduk, pembangunan pesat serta perluasan kawasan bandar di Penampang selain mampu meningkatkan penyampaian perkhidmatan dan memastikan pembangunan yang lebih seimbang.
“Dengan pertambahan kerusi Parlimen dan Dun, pentadbiran serta penyampaian perkhidmatan kepada rakyat akan menjadi lebih cekap kerana setiap wakil rakyat dapat memberi tumpuan kepada kawasan yang lebih kecil dan tersusun,” katanya.
Usul-usul terbabit disokong oleh Ketua Pemuda Cawangan Upko Babah Rajani Jojo, Ketua Cawangan Upko Kampung Sarapung Gina Chau, Timbalan Ketua Pemuda Upko Penampang Alex John Gintos serta ahli Upko Kapayan Charles Liew.