Kuala Lumpur: Dewan Rakyat pada Isnin meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Persaingan (Pindaan) 2026 (RUU 712) dan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Persaingan (Pindaan) 2026 (RUU 713), sekali gus memperkukuh kuasa penguatkuasaan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dalam membanteras amalan antipersaingan serta melindungi pengguna dan pasaran domestik.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali
(gambar), berkata pindaan itu merupakan langkah penting untuk memperkasakan keupayaan MyCC dalam menjalankan fungsi penguatkuasaan dan penyiasatan terhadap sebarang perlakuan antipersaingan yang menjejaskan pasaran.
Menurutnya, kelulusan kedua-dua RUU itu menyusuli pembentangan bacaan kali kedua yang bermula pada 2 Julai sebelum disambung pada Isnin, sekali gus menjadi antara agenda reformasi perundangan utama kementerian bagi memastikan ekosistem persaingan negara kekal adil, telus dan mampan.
Katanya, usaha itu juga selaras dengan komitmen kerajaan untuk melindungi kepentingan pengguna, membendung manipulasi pasaran serta membantu menangani isu kos sara hidup melalui pelaksanaan sistem persaingan yang lebih sihat.
“Fokus utama pindaan RUU 712 adalah untuk menambah baik kuasa penguatkuasaan dan penyiasatan MyCC supaya tindakan terhadap amalan antipersaingan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan, cekap dan menyeluruh.
“Langkah ini bukan sahaja memperkukuh perlindungan terhadap pasaran dan pengguna, malah memastikan persaingan yang sihat terus menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini, Isnin.
Armizan berkata secara keseluruhannya, RUU 712 melibatkan 34 pindaan yang merangkumi penambahbaikan terhadap 29 seksyen sedia ada serta pengenalan lima seksyen baharu bagi memperkukuh kerangka perundangan sedia ada.
Beliau berkata antara pindaan utama ialah penambahbaikan definisi “persatuan” di bawah Seksyen 2 bagi mengelakkan persatuan perusahaan disalahgunakan sebagai medium mewujudkan pakatan kartel atau menjalankan aktiviti yang boleh memanipulasi pasaran.
Katanya, melalui pindaan itu, persatuan perusahaan perlu lebih bertanggungjawab memastikan setiap aktiviti yang dijalankan mematuhi undang-undang persaingan, sekali gus memainkan peranan sebenar dalam memajukan industri tanpa menjejaskan persaingan yang adil.
“Selain itu, antara lima seksyen baharu yang diperkenalkan ialah Seksyen 11A yang memperuntukkan tindakan jenayah terhadap mana-mana perusahaan yang gagal memberikan kerjasama atau enggan mengemukakan maklumat kepada MyCC bagi tujuan pelaksanaan kajian pasaran.
“Peruntukan baharu ini penting bagi memastikan setiap kajian pasaran memperoleh data yang lengkap, tepat dan telus, sekali gus membolehkan dasar serta tindakan penguatkuasaan dirangka berdasarkan fakta yang menyeluruh.
“RUU 712 turut memperkenalkan Seksyen 58A yang memberi kuasa kepada MyCC untuk memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi sekiranya keputusan di bawah Seksyen 35, 39 dan 40 diketepikan oleh Tribunal Rayuan Persaingan,” katanya.
Dalam pada itu, Armizan berkata bagi memastikan pelaksanaan pindaan RUU 712 lebih berkesan, RUU 713 turut melibatkan pindaan terhadap sembilan seksyen sedia ada serta pengenalan satu seksyen baharu.
Menurutnya, pindaan itu memperjelaskan kuasa Suruhanjaya, termasuk memberikan kuasa perwakilan bagi melaksanakan fungsi tertentu, sekali gus meningkatkan kecekapan pentadbiran dan pelaksanaan penguatkuasaan oleh MyCC.
Beliau berkata pindaan terhadap kedua-dua akta itu dijangka memperkukuh integriti pasaran domestik selain meningkatkan keyakinan pelabur terhadap ekosistem perniagaan negara yang lebih telus dan berdaya saing.
“Selepas mendapat kelulusan Dewan Rakyat, kedua-dua RUU ini akan dibentangkan di Dewan Negara yang dijadualkan bersidang dari 20 Julai hingga 4 Ogos depan, sekali gus menunjukkan komitmen berterusan KPDN dalam memperkukuh agenda reformasi pasaran bagi memastikan ekosistem perdagangan domestik kekal adil, berintegriti dan progresif,” katanya.
Beliau berharap pindaan akta itu akan menjadi instrumen perundangan yang lebih ampuh dalam memelihara kesejahteraan rakyat serta memacu kemampanan ekonomi negara secara menyeluruh.