TAWAU: Sebanyak 531 kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan di Sabah setakat ini menunjukkan lebih banyak perlu dilakukan termasuk mengambil tahu kes-kes tidak dilaporkan.
Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Negeri Datuk Rina Jainal berkata program advokasi mesti diperluaskan untuk memberi kesedaran dan menggalakkan lebih ramai mangsa berani tampil bagi mendapatkan bantuan.
Advertisement

Katanya, program sedemikian juga adalah untuk memastikan bantuan daripada agensi dan jabatan berkaitan dapat disalurkan secara berkesan kepada mangsa.
“Lebih 50 kes keganasan rumah tangga direkodkan di Tawau manakala di seluruh Sabah mencecah 531 kes setakat ini. Bahkan, masih terdapat kes-kes yang tidak dilaporkan,” katanya.
Rina berkata kerajaan memperkenalkan inisiatif baharu bagi menggalakkan mangsa yang takut untuk mendapatkan bantuan atas pelbagai kekangan termasuk pemberian insentif kewangan bagi membantu mereka tampil ke hadapan namun identiti tetap dirahsiakan.
Tambahnya, di peringkat kerajaan negeri, Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (Jhewa) menyediakan pelbagai bentuk sokongan serta bantuan kepada mangsa termasuk sokongan kebajikan, kaunseling, nasihat dan sokongan lain yang diperlukan.
“Harapan kita agar dapat mengurangkan isu ini dan dapat menyedarkan lebih ramai mangsa bukan sahaja wanita, kanak-kanak tetapi siapa sahaja supaya berani mempertahankan hak serta nasib mereka,” katanya pada Program Advokasi @ KRT Prismanita dan Program Advokasi Kesejahteraan Untuk Wanita @ Keganasan Rumah Tangga (Aku Wanita @ KRT) Peringkat Negeri di Dewan Masyarakat Tawau, di sini, pada Rabu.
Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita Hanani Sapit.
Rina berkata keganasan bukan sahaja dalam bentuk fizikal tetapi turut melibatkan keganasan mental dan emosi yang kesannya sangat besar terhadap mangsa.
“Perbuatan ini mampu memberi kesan kepada psikologi mangsa sehingga menyebabkan mereka tidak mampu berbuat apa-apa dan hilang motivasi untuk meneruskan hidup,” katanya.
Tegasnya, keganasan rumah tangga bukan lagi isu yang boleh dianggap sebagai urusan peribadi keluarga sebaliknya isu sosial yang memberi kesan besar kepada kesejahteraan masyarakat, pembangunan modal insan serta masa depan generasi akan datang.
Rina berkata kehadiran ramai orang sempena program itu juga menghantar satu isyarat jelas bahawa masyarakat tidak lagi mahu berkompromi dengan sebarang bentuk penindasan dalam rumah tangga.
Lebih 700 peserta hadir pada program dua hari bermula Selasa itu termasuk wakil jabatan dan agensi serta orang awam pelbagai latar belakang.
Pengisian program termasuk ceramah, slot perkongsian dari panel agensi kerajaan seperti PDRM, Hospital Tawau dan Jabatan Kebajikan Masyarakat, jualan rahmah serta jualan usahawan tempatan.