SANDAKAN: Kerajaan Sabah terus komited memperkukuh infrastruktur pendidikan di negeri ini khususnya bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) sejajar agenda meningkatkan kualiti pendidikan untuk semua.
Penasihat Teknikal (Tenaga) kepada Ketua Menteri Datuk Jim Lim berkata Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor turut meningkatkan sokongan kewangan kepada pendidikan masyarakat Cina dari semasa ke semasa.
Advertisement

Beliau berkata peruntukan am kepada badan keagamaan bukan Islam, sekolah mubaligh termasuk sekolah persendirian Cina dan SJKC meningkat daripada RM70 juta pada 2025 kepada RM90 juta pada 2026.
“Kerajaan Negeri juga memperkenalkan Dana Khas Biasiswa Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) berjumlah RM5 juta pada 2025 serta mengiktiraf UEC sekali gus membolehkan pemegang sijil itu memohon Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS),” katanya ketika berucap pada Program Santunan Ramah Mesra di Pusat Sumber Beruang Matahari SJK(C) Tai Tong baru-baru ini.
Menurutnya usaha itu diteruskan pada 2026 menerusi cadangan memperluas Skim Biasiswa UEC selain meningkatkan peruntukan keseluruhan BKNS kepada RM101 juta yang turut boleh dimanfaatkan pemegang UEC serta pelajar Cina yang mengikuti pengajian peringkat asasi, matrikulasi dan A-Level.
Jim berkata Hajiji sentiasa menegaskan bahawa tiada kanak-kanak harus tercicir daripada mendapat akses kepada pendidikan.
“Melalui agenda Sabah Maju Jaya (SMJ), Kerajaan Negeri melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk bantuan persekolahan, biasiswa serta sokongan khusus kepada sekolah vernakular,” ujarnya.
Beliau berkata Kerajaan Negeri juga menyediakan peruntukan yang signifikan kepada sekolah bukan kerajaan dan sekolah Cina termasuk menyokong pengiktirafan UEC serta pelaksanaan program biasiswa khusus. Bercakap mengenai keperluan SJKC Tai Tong, Jim memberi jaminan bahawa segala isu yang dibangkitkan pihak sekolah akan diberi perhatian sewajarnya.
Beliau berkata SJKC Tai Tong yang terletak di Taman Sibuga, Batu 5 dan ditubuhkan pada 1933 kini mempunyai 475 murid serta 35 guru namun berdepan pelbagai masalah infrastruktur termasuk bangunan uzur, bumbung berkarat, sistem pendawaian elektrik yang usang dan kemudahan yang semakin merosot.
“Kami akan bekerjasama rapat dengan pihak sekolah, lembaga pengurusan, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta komuniti bagi menangani keperluan mendesak ini,” jelasnya.
Program Santunan Ramah Mesra itu menjadi platform mengeratkan hubungan antara komuniti sekolah dengan kepimpinan negeri di samping meninjau sendiri keadaan sekolah dan memperkukuh kerjasama bagi memajukan sektor pendidikan di Sandakan.