Kota Kinabalu: Sabah berhasrat mewujudkan rangkaian 25 Pusat Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (Stem) di seluruh negeri sebagai langkah strategik untuk menjadi hab utama pendidikan Stem di Malaysia Timur.
Perkara berkenaan dizahirkan Menteri Pendidikan, Sains dan Teknologi Sabah Datuk James Ratib
(gambar) selepas mendengar pembentangan cadangan penubuhan Pusat Stem Sabah, oleh Pengarah Pusat Stem Universiti Malaya Prof Dr Mas Sahidayana Mokhtar dan Presiden Persatuan Stem Kebangsaan Prof Emeritus Datuk Dr Noraini Idris pada Mesyuarat Pemerkasaan Stem di sini, Isnin lepas.
Advertisement

Menurut kenyataan kementerian itu pada Selasa, kertas cadangan yang dibentangkan mengesyorkan penubuhan sebuah Pusat Stem Sabah di Kota Kinabalu sebagai ibu pejabat serta 24 cawangan di seluruh negeri, bagi memperluas akses pendidikan Stem, khususnya kepada pelajar di kawasan luar bandar dan pedalaman.
“Projek berkenaan dianggarkan memerlukan pelaburan keseluruhan sebanyak RM195 juta, merangkumi RM75 juta bagi pembangunan ibu pejabat Pusat Stem Sabah di Kota Kinabalu dan RM120 juta untuk 24 cawangan pusat Stem daerah,” menurut kenyataan itu.
Kertas cadangan itu turut menyatakan rangkaian pusat berkenaan akan menjadi pemangkin pembangunan bakat dalam bidang kecerdasan buatan (AI), robotik, dron, pengaturcaraan, Internet Kebendaan (IoT), teknologi hijau dan inovasi selaras dengan keperluan Revolusi Industri 4.0, ekonomi digital serta aspirasi Sabah Maju Jaya (SMJ).
Menurut kenyataan itu, Pusat Stem Sabah akan menempatkan pelbagai kemudahan termasuk Akademi Latihan Guru Stem, Makmal AI, Makmal Robotik, Makmal Dron, Digital Fabrication Lab, Makerspace, Inkubator Startup Pelajar, Pusat Pameran Sains, Studio Digital dan Pusat Data Stem Sabah.
Setiap Pusat Stem daerah pula akan dilengkapi dengan kemudahan pembelajaran moden seperti makmal AI, robotik, dron, pengaturcaraan, elektronik, IoT, percetakan 3D, studio multimedia, Makerspace, bilik realiti maya (VR/AR) serta mini galeri sains.
Cadangan itu turut menggariskan pelaksanaan pelbagai program pembangunan bakat, antaranya Sabah Robotics Championship, Sabah Drone Challenge, Sabah AI Challenge, Digital Maker Festival, Science Camp, Girls in Stem, Program Teknologi Hijau, Space Science Programme, Junior Engineer Programme serta AI for Kids.
Dalam tempoh lima tahun, projek itu menyasarkan penyertaan 500,000 pelajar, latihan kepada 20,000 guru dalam pedagogi Stem, penghasilan 10,000 projek inovasi, penganjuran 500 pertandingan Stem, pewujudan 100 rakan strategik industri serta pembangunan 500 syarikat pemula teknologi pelajar.