Kota Kinabalu: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) memperkasakan kerjasama pelancongan antara negeri menerusi jalinan usaha sama erat dengan Tourism Johor.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin berkata inisiatif itu bukan sahaja untuk memajukan pasaran pelancongan domestik, tetapi juga sebagai persediaan penting menjelang penganjuran Tahun Melawat Sabah 2027.
“Melalui kerjasama yang lebih erat, kita mampu membangunkan inisiatif promosi bersama-sama, berkongsi amalan terbaik serta memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia,” katanya dalam kenyataan di sini, Isnin.
Jafry berkata kunjungan hormat delegasi Sabah ke Tourism Johor baru-baru ini, membuka ruang perbincangan yang luas, khususnya dalam aspek promosi silang, pembangunan produk baharu dan pemantapan strategi pemasaran destinasi pelancongan di dua negeri terlibat.
“Selain memfokuskan sektor promosi agensi, lawatan kerja itu turut melibatkan kunjungan rasmi ke Muzium Diraja Abu Bakar di Istana Besar Johor bagi meninjau serta mempelajari amalan terbaik pengurusan institusi warisan dan pemeliharaan aset sejarah,” katanya.
Beliau berkata perkongsian kepakaran dalam pemuliharaan warisan sejarah dan pengurusan muzium amat kritikal kerana sektor kebudayaan antara tonggak utama ekonomi yang akan diketengahkan Sabah kepada pelancong antarabangsa.
Jafry turut merakamkan penghargaan kepada pengurusan Tourism Johor dan kurator muzium atas komitmen yang diberikan dan optimis bahawa pakatan strategik itu akan merancakkan lagi kedatangan pelancong sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi negara.