Kota Kinabalu: Seorang sarjan polis dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Khas Rasuah pada Rabu daripada pertuduhan menerima rasuah RM4,000 daripada seorang lelaki sebagai dorongan untuk membebaskan seorang tahanan.
Hakim Elsie Primus membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Sazaly Sahaji.
Advertisement

Mahkamah memerintahkan Sazaly dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri atas pertuduhan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Sazaly didakwa menerima wang tunai RM4,000 daripada Al Sadam Madusin di sebuah restoran di Kepayan kira-kira jam 10 pagi pada 28 Julai 2024 sebagai balasan untuk mendapatkan pembebasan seorang tahanan dikenali sebagai Disa.
Pada 5 November 2025 Sazaly mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu yang membawa hukuman mengikut Seksyen 24(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan Sazaly boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Seramai lima saksi dipanggil memberi keterangan sepanjang peringkat pendakwaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Shafeerah Mad Iskim manakala Sazaly diwakili peguam Sylvester Kuan.