Kuala Lumpur: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan RM2.1 bilion menerusi Belanjawan 2026 bagi mempercepat pembangunan infrastruktur, kemudahan awam dan sosioekonomi luar bandar Sabah bagi tempoh 2026 hingga 2027.
Peruntukan itu dinyatakan dalam jawapan bertulis rasmi kementerian kepada soalan Parlimen yang dikemukakan Ahli Parlimen Keningau Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan
(gambar) di Dewan Rakyat pada 29 Jun lalu.
Advertisement

Jeffrey meminta Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menjelaskan program serta inisiatif konkrit kerajaan dalam menjana pendapatan tambahan bagi komuniti luar bandar khususnya penduduk di kawasan pedalaman Sabah.
Dalam jawapannya KKDW berkata strategi kementerian memberi tumpuan kepada pengukuhan ekonomi digital, pemerkasaan keusahawanan luar bandar serta peningkatan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Bagi melahirkan lebih ramai belia dan wanita berkemahiran di luar bandar, kementerian menyediakan latihan dalam bidang yang mempunyai permintaan pasaran termasuk seni kulinari, jahitan, TVET teknikal, pengurusan perniagaan, pemasaran digital, e-dagang, penciptaan kandungan digital, reka bentuk grafik, perkhidmatan pembantu maya serta pengurusan media sosial.
“Bagi menyokong inisiatif ini, KKDW turut memperkenalkan beberapa skim pembiayaan dan projek pembangunan bersepadu.
“Antaranya Projek Pembangunan Ekonomi Desa Bersepadu (Prospek) yang memberi tumpuan kepada aktiviti ekonomi berimpak tinggi.
“Di Sabah, program ini dilaksanakan di Nabawan menerusi projek ternakan udang galah air tawar dan di Tuaran menerusi projek ternakan ketam nipah,” menurut KKDW dalam jawapan bertulis kepada Dr Jeffrey.
Kementerian itu turut menawarkan pembiayaan menerusi Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED) dengan pinjaman antara RM20,000 hingga RM250,000 bagi membantu usahawan luar bandar membeli aset perniagaan, membiayai modal kerja serta menaik taraf premis perniagaan.
Skim itu dilengkapi dengan Skim Pemerkasaan Usahawan Luar Bandar (SPLKB) yang menyediakan bantuan geran kepada usahawan mikro bagi menyokong operasi serta rancangan pengembangan perniagaan.
Sementara itu Program Peningkatan Pendapatan (PPP) menyediakan bantuan peralatan perniagaan dan latihan bernilai sehingga RM10,000 bagi setiap peserta.
“Di Sabah program ini menyasarkan 50 peserta terdiri daripada belia, wanita, isi rumah B40 dan golongan miskin tegar dengan jumlah peruntukan RM500,000,” katanya.
KKDW turut memperuntukkan RM240,000 menerusi Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK) untuk memberi manfaat kepada 32 peserta di Sabah dengan meningkatkan kebolehpasaran serta kemahiran teknikal sebelum memasuki alam pekerjaan.
Bagaimanapun berdasarkan jawapan bertulis Parlimen KKDW, kementerian itu tidak menyediakan pecahan peruntukan atau jumlah penerima mengikut daerah bagi Tambunan, Keningau atau Tenom.
Butiran pelaksanaan yang diumumkan setakat ini hanya memberi tumpuan kepada lokasi tertentu seperti Nabawan dan Tuaran menyebabkan kesan khusus serta sasaran pembangunan bagi kawasan Pedalaman Atas masih belum dapat dikenal pasti berdasarkan maklumat rasmi kementerian.