TAWAU: Lapan pelajar lelaki dari sebuah sekolah menengah di sini direman selama dua hari bagi membantu siasatan berhubung pergaduhan yang dipercayai berpunca daripada penyebaran video dan imej lucah yang dihasilkan menggunakan kecerdasan buatan (AI).
Kesemua pelajar berusia antara 13 hingga 14 tahun itu ditahan pada Selasa selepas rakaman video pergaduhan berkenaan tular pada 13 Julai.
Advertisement

Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin pada Rabu selepas membenarkan permohonan pegawai penyiasat Inspektor Nurul Amira Razali yang pada awalnya memohon tempoh reman selama empat hari.
Pelajar Tingkatan Satu dan Tingkatan Dua itu disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata.
Menurut fakta kes, rakaman video menunjukkan sekumpulan pelajar bergaduh dengan seorang orang awam yang didakwa menggunakan topi keledar motosikal sebagai senjata. Kejadian berlaku pada petang 10 Julai di sebuah deretan kedai di Jalan Apas.
Polis mengesahkan tiada sebarang kecederaan dilaporkan kerana orang awam yang berada di lokasi berjaya meleraikan pergaduhan terbabit.
Bagaimanapun, hasil semakan polis di Facebook, TikTok dan Instagram tidak menemui sebarang jejak kandungan yang didakwa dihasilkan menggunakan AI itu.