LEMBAGA Sukan Sabah (LSS) akan meningkatkan usaha penyelenggaraan laluan joging di Kompleks Sukan Kota Kinabalu (KKSC) termasuk membersihkan longkang di sepanjang laluan sejauh satu kilometer serta memotong rumput berhampiran tasik secara berkala.
Tindakan itu diambil susulan aduan seorang pengguna kompleks mengenai bau busuk dan rumput yang terlalu panjang di beberapa bahagian sepanjang laluan joging tersebut.
Advertisement


Pengguna berkenaan mendapati air hujan bertakung di beberapa bahagian longkang yang mengeluarkan bau kurang menyenangkan kerana dipenuhi daun-daun kering yang menyumbat aliran air.
Penduduk Likas itu sering berjoging dan berjalan kaki di laluan berkenaan pada waktu petang, turut mendapati beberapa kemudahan seperti papan tanda dan tempat duduk telah rosak dan tidak diselenggara dengan baik.
Beliau beranggapan pihak pengurusan kompleks kurang memberi perhatian terhadap penyelenggaraan kemudahan yang disediakan di sekitar laluan joging itu.
Pengadu kemudian menyalurkan maklumat berkaitan masalah tersebut kepada Hotline sebelum perkara itu dipanjangkan kepada Lembaga Sukan Sabah.
Advertisement

Jurucakap LSS berkata kakitangan KKSC telah turun ke lokasi tidak lama selepas menerima aduan bagi meninjau keadaan dan mengambil tindakan sewajarnya.
“Mereka mengesahkan bahawa masalah yang dibangkitkan oleh pengguna Kompleks itu sememangnya berasas,” katanya.
Beliau berkata dua kakitangan KKSC telah dihantar beberapa hari lalu untuk membersihkan bahagian longkang yang tersumbat.
“Mereka mengorek keluar daun-daun kering yang menyumbat longkang dan mengumpulkannya ke dalam kereta sorong yang dibawa khas untuk tujuan itu. Pada masa yang sama, dua pekerja turut memotong rumput yang panjang di kawasan tepi tasik,” ujarnya.
Menurutnya tindakan juga diambil untuk menanggalkan rangka besi papan tanda lama yang tidak lagi digunakan.
Ketika ditanya mengenai kekerapan kerja penyelenggaraan longkang, pemotongan rumput dan kemudahan lain di sekitar laluan joging dilakukan, jurucakap itu berkata kerja-kerja tersebut dijalankan mengikut keperluan.
“Bagaimanapun susulan maklum balas orang ramai, kami telah mengarahkan kakitangan supaya lebih peka dengan melakukan pemeriksaan berkala di sepanjang laluan joging serta mengambil tindakan segera terhadap sebarang masalah yang dikesan.
“Langkah ini akan membantu memastikan kawasan tersebut sentiasa berada dalam keadaan kemas, bersih dan memuaskan untuk kegunaan orang ramai,” jelasnya.
Beliau berkata ini bukan kali pertama keadaan kemudahan di laluan joging itu menerima kritikan daripada orang awam.
Pada Mei tahun lalu seorang lagi pengguna kompleks turut mengadu mengenai lampu yang rosak serta laluan pejalan kaki menuju ke kawasan berkenaan yang mengalami kerosakan.
Ketika itu jurucakap LSS memaklumkan bahawa kerja-kerja pembaikan akan dilaksanakan sebaik sahaja Lembaga mempunyai peruntukan dan kemampuan untuk melaksanakannya.
“Kami telah memohon peruntukan khas daripada Kementerian Belia dan Sukan bagi menangani masalah di laluan joging KKSC.
“Kerja-kerja menaik taraf laluan pejalan kaki serta sistem lampu awam akan dilaksanakan sebaik sahaja peruntukan itu diluluskan,” maklumnya.