Thu, 18 Apr 2024

HEADLINES :


RUU pinda Perlembagaan Persekutuan akan dibentang
Published on: Thursday, October 07, 2021
By: Bernama
Text Size:

RUU pinda Perlembagaan Persekutuan akan dibentang
PUTRAJAYA: Rang undang-undang (RUU) bagi meminda Perlembagaan Persekutuan supaya selaras dengan peruntukan yang relevan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dijangka dibentang di Parlimen menjelang akhir bulan ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata pindaan itu amat penting kerana ia akan memberi kejelasan berhubung kedudukan Sabah dan Sarawak serta rakyat terutama penduduk asal di kedua-dua negeri.

“Selama bertahun-tahun, berlaku hakisan terhadap hak-hak Sabah dan Sarawak seperti yang dinyatakan dalam Perjanjian Malaysia 1963. Kami berharap dapat membetulkan perkara ini dengan meminda beberapa peruntukan kritikal dalam Perlembagaan Persekutuan,” menurutnya dalam kenyataan pada Rabu.

Pada Sabtu lepas, Wan Junaidi berkata kerajaan dengan bantuan Jabatan Peguam Negara (AGC) akan meneliti langkah meminda beberapa peruntukan undang-undang yang kritikal dalam MA63 untuk mengembalikan hak-hak rakyat di Sabah dan Sarawak seperti yang dipersetujui susulan pembentukan Malaysia. Berdasarkan anggaran garis masa, Wan Junaidi berkata bacaan pertama rang undang-undang itu boleh dilakukan pada 26 Oktober ini diikuti bacaan kedua pada 28 Oktober.

Beliau berkata AGC dijadual merangka Naskhah Biru pindaan rang undang-undang itu yang diharap akan dapat dibentang kepada Ahli Parlimen pada 25 Oktober ini.

“Semasa AGC mengkaji peruntukan undang-undang, kami sudah memulakan sesi libat urus bagi menjelaskan perkara itu kepada pihak berkepentingan utama termasuk Ahli Parlimen, pemimpin Sabah dan Sarawak serta Peguam Besar di kedua-dua negeri,” katanya.

Wan Junaidi berkata setakat ini, inisiatif itu telah mendapat sokongan daripada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.

Katanya beliau akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk membincangkan perkara itu secara rasmi dalam masa terdekat.

Bergantung kepada kejayaan sesi libat urus itu, Wan Junaidi berkata beliau menyasarkan untuk mengadakan mesyuarat khas mengenai MA63 yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 21 Oktober. Beliau berkata selepas itu, kertas khas mengenai MA63 akan dikemukakan oleh Perdana Menteri kepada anggota Kabinet pada keesokan harinya (22 Oktober). 





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here