Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh tadbir urus biodiversiti, agenda bioekonomi dan bioteknologi menerusi pelaksanaan Pelan Tindakan Bioteknologi Sabah 2024–2034.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata pelan tindakan itu menjadi kerangka strategik negeri untuk memanfaatkan kekayaan biodiversiti Sabah secara bertanggungjawab melalui pendekatan berasaskan sains bagi menjana nilai ekonomi yang lebih tinggi, memperkukuh penyelidikan dan inovasi serta membangunkan industri bioteknologi yang mampan.
“Menerusi pelaksanaan pelan tindakan ini, Sabah berhasrat menghubungkan pemuliharaan biodiversiti dengan pembangunan sosioekonomi sambil memastikan sumber biologi dan pengetahuan tradisional dimanfaatkan secara lestari serta manfaatnya dikongsi secara adil dan saksama dalam kalangan rakyat negeri ini,” katanya.
Sebagai bukti komitmen ini, beliau berkata Sabah turut memperluaskan Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (TPA) menerusi pewartaan kira-kira 216,000 hektar kawasan perlindungan baharu yang merangkumi hutan simpan komersial dan tanah kerajaan.
Langkah itu meningkatkan keluasan keseluruhan TPA negeri kepada 2.227 juta hektar, mewakili 30.06 peratus daripada keluasan tanah Sabah. Pencapaian itu menyumbang kepada Sasaran 3 Rangka Kerja Biodiversiti Global (GBF) Kunming-Montreal yang menyasarkan sekurang-kurangnya 30 peratus kawasan daratan, perairan pedalaman, marin dan pesisir pantai dipulihara serta diurus secara berkesan menjelang 2030.
Beliau berkata Hutan DaMaI (Danum-Maliau-Imbak) yang merangkumi Kawasan Pemuliharaan Lembah Danum, Kawasan Pemuliharaan Lembangan Maliau dan Kawasan Pemuliharaan Imbak Canyon kini menjadi hab penyelidikan biodiversiti bertaraf dunia yang menarik penyelidik tempatan dan antarabangsa.
“Peningkatan jumlah permohonan Lesen Akses Sumber Biologi Negeri di bawah Enakmen Biodiversiti Sabah 2000 turut membuktikan pengiktirafan Sabah sebagai pusat penyelidikan biodiversiti terkemuka di rantau ini,” katanya.
Hajiji berkata pelbagai penemuan penting, termasuk pengenalpastian spesies baharu dan inovasi, dokumentasi habitat kritikal serta pembangunan pendekatan pemuliharaan, telah dihasilkan menerusi penyelidikan yang dijalankan di Sabah.
Beliau berkata tadbir urus biodiversiti di Sabah terus diperkukuh melalui pelbagai inisiatif, termasuk pendigitalan sistem pengurusan dan perlindungan pengetahuan tradisional.
“Ini bagi memastikan sumber yang amat bernilai ini terus dipelihara dan dimanfaatkan secara lestari untuk generasi masa kini dan akan datang,” katanya pada majlis Anugerah Penyelidikan Biodiversiti Terbaik Sabah 2026 sempena sambutan Hari Biodiversiti Sedunia Peringkat Negeri di Hotel Hilton. Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.
Ketua Menteri berkata tema Hari Biodiversiti Sedunia tahun ini, “Acting Locally for Global Impact”, mencerminkan perjalanan Sabah dalam membuktikan bahawa tindakan di peringkat tempatan mampu menghasilkan impak besar di peringkat antarabangsa.
“Sabah bukan sahaja sebuah negeri yang kaya dengan biodiversiti, malah antara wilayah yang memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada agenda pemuliharaan biodiversiti global,” katanya.
Beliau turut menonjolkan satu lagi pencapaian bersejarah menerusi pemeteraian Perjanjian Perkongsian Faedah pertama antara Kerajaan Sabah dan Botanickel Sabah Sdn Bhd pada September 2025.
Projek itu memberi tumpuan kepada kelestarian alam sekitar dan penggunaan sumber secara cekap melalui teknologi fitoekstraksi yang inovatif, membabitkan penggunaan tumbuhan hiperakumulator Sabah untuk mengekstrak nikel daripada tanah.
“Ia dijangka memberi impak positif kepada komuniti tempatan melalui peluang pekerjaan, aktiviti ekonomi, kontrak pertanian jangka panjang dan integrasi ekopelancongan, selain menghantar isyarat jelas kepada penyelidik, pelabur dan industri antarabangsa untuk meneroka potensi besar bioekonomi Sabah,” katanya.
Hajiji berkata Anugerah Penyelidikan Biodiversiti Terbaik Sabah diperkenalkan bagi mengiktiraf penyelidik tempatan dan antarabangsa yang memberikan sumbangan cemerlang dalam memajukan pengetahuan saintifik mengenai biodiversiti Sabah.
“Saya berharap anugerah ini akan terus menjadi pemangkin kepada lebih banyak penyelidikan berkualiti tinggi yang mampu mengangkat kedudukan Sabah di persada global, di samping menyumbang kepada usaha berterusan memulihara, melindungi dan memanfaatkan biodiversiti secara lestari di peringkat tempatan, kebangsaan dan global,” katanya.