TAWAU: Polis menahan seorang lelaki warga asing berumur 29 tahun yang disyaki menceroboh masuk tanpa kebenaran ke kawasan sebuah pusat memandu di Jalan Hilltop di sini, awal Jumaat.
Bagaimanapun, Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau Supt Wilynton Enchana Watt berkata setakat ini pihaknya belum dapat memastikan motif sebenar suspek.
“Penahanan suspek dilakukan sejurus polis menerima maklumat awal daripada pengawal keselamatan yang mengesan kehadiran seorang lelaki mencurigakan yang berada di dalam kawasan institusi memandu terbabit.
“Tindakan pantas menahan lelaki itu dilakukan oleh anggota polis dari Unit Kereta Peronda (MPV) Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Daerah Tawau,” katanya.
Menurutnya, selepas suspek ditahan, pemeriksaan susulan mendapati lelaki terbabit juga tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri atau perjalanan sah untuk tinggal atau berada di negara ini.
“Buat masa ini siasatan dibuka di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan berkaitan perbuatan menceroboh kawasan persendirian dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 akibat berada di negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah,” katanya.
Hasil pemeriksaan juga mendapati tidak ada barang atau peralatan mencurigakan yang ditemui daripada suspek dan lelaki itu turut tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
Katanya, penangkapan itu membuktikan polis sentiasa komited dalam memastikan keselamatan awam supaya sentiasa terpelihara untuk menjamin kesejahteraan warga Tawau.
Polis juga amat menghargai kerjasama masyarakat yang menyalurkan maklumat pada kadar segera sekali gus mengukuhkan lagi usahasama antara kepolisan dan komuniti dalam membanteras jenayah di Tawau.