Kota Kinabalu: Pasukan pelayaran Taiwan Simen Sailing berjaya menamatkan program latihan bersama dengan Kelab Kapal Layar Kinabalu (KYC) pada Ahad
(gambar).
Komodor KYC Alber Shim berkata program yang menghimpunkan atlet dan jurulatih daripada kedua-dua pasukan itu melibatkan beberapa sesi latihan serta perlumbaan kompetitif dengan tujuan meningkatkan pembangunan teknikal, semangat kesukanan dan persahabatan antarabangsa.
Program itu diakhiri dengan majlis makan malam perpisahan yang dianjurkan KYC di rumah kelabnya. Hadiah-hadiah disampaikan oleh Guru Besar Sekolah Rendah Simen, Tainan, Taiwan, Tsui-Ling Alison Lu bersama Naib Komodor KYC Jarrow Marcus.
Dalam ucapannya, Alber mengucapkan terima kasih kepada Alison Lu dan pasukannya serta semua pihak yang terlibat atas usaha menjayakan program berkenaan.
Beliau berharap kejayaan itu akan membuka lebih banyak peluang pertukaran sukan pelayaran di peringkat antarabangsa pada masa hadapan.