Kota Kinabalu: Usaha melindungi kanak-kanak merupakan tanggungjawab bersama yang memerlukan komitmen kolektif keluarga, sekolah, komuniti, agensi kerajaan dan sektor swasta kata Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Rina Jainal.
Beliau berkata tiada satu organisasi mampu melindungi kanak-kanak secara bersendirian justeru kerjasama yang lebih kukuh amat diperlukan bagi memastikan setiap kanak-kanak di Sabah membesar dalam persekitaran selamat, penyayang dan terlindung.
“Kanak-kanak bukan sahaja pemimpin masa depan malah mereka adalah pemegang hak pada hari ini yang berhak hidup dengan selamat dan bermaruah, bebas daripada keganasan, eksploitasi, pengabaian serta diskriminasi,” katanya.
Rina berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Perlindungan Kanak-Kanak Sabah 2026 yang julung kali diadakan dengan tema “Membina Komuniti Yang Melindungi” di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Sabtu.
Pada majlis itu beliau turut melancarkan dua penerbitan iaitu “Child Safeguarding: What Every Parent Should Know” dan “This Is Me. Every Child Matters” yang bertujuan meningkatkan kesedaran ibu bapa, penjaga serta masyarakat mengenai kepentingan perlindungan kanak-kanak.
Menurut beliau Sabah mempunyai kira-kira 1.06 juta kanak-kanak daripada keseluruhan 3.4 juta penduduk negeri ini, bermakna hampir satu pertiga daripada populasi bakal menentukan masa depan Sabah dan negara.
“Keadaan dan kesejahteraan kanak-kanak hari ini akan membentuk kesejahteraan Sabah pada masa hadapan,” katanya.
Rina berkata dapatan Indeks Kesejahteraan Kanak-Kanak Sabah menunjukkan kebajikan kanak-kanak perlu dilihat secara menyeluruh dengan mengambil kira aspek keselamatan, kesihatan, pendidikan, perlindungan dan penyertaan bermakna dalam masyarakat.
Memetik statistik Jabatan Perangkaan Malaysia beliau berkata Sabah merekodkan 1,181 kanak-kanak yang memerlukan penjagaan dan perlindungan pada 2024 iaitu jumlah kedua tertinggi di negara ini selepas Selangor.
Katanya angka itu menunjukkan keperluan mendesak untuk memperkukuh sistem perlindungan kanak-kanak negeri menerusi pendekatan yang lebih strategik dan proaktif.
Beliau menegaskan Kerajaan Negeri kekal komited menjadikan perlindungan kanak-kanak sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Pembangunan tidak seharusnya diukur berdasarkan pertumbuhan ekonomi semata-mata, tetapi juga keupayaan masyarakat melindungi golongan yang paling terdedah,” katanya.
Menurut Rina, Sabah turut berdepan pelbagai cabaran termasuk kemiskinan, kekangan geografi, keselamatan dalam talian, buli siber, eksploitasi digital, isu kesihatan mental serta masalah dokumentasi dan kewarganegaraan yang menjejaskan kanak-kanak.
Menyentuh mengenai kanak-kanak tidak berdokumen, khususnya di Tawau, beliau berkata isu dokumentasi masih serius dan golongan itu tidak boleh dipinggirkan kerana mereka juga sebahagian daripada komuniti Sabah.
“Tiada kanak-kanak yang seharusnya tercicir daripada mendapat perlindungan, pendidikan dan peluang untuk berkembang tanpa mengira latar belakang mereka,” katanya.
Sementara itu Presiden Child Safeguarding Initiative (CSI) Sonia Chin berkata persidangan itu dianjurkan bagi memperkukuh dialog, kerjasama dan jaringan antara semua pihak berkepentingan dalam usaha melindungi kanak-kanak.
Katanya persidangan itu menghimpunkan wakil agensi kerajaan, badan kehakiman, pasukan penguat kuasa, institusi pendidikan, pengamal kesihatan, pertubuhan masyarakat sivil, institusi berasaskan agama, sektor swasta dan pemimpin komuniti.
Beliau berkata Gabungan Child Safeguarding Initiative yang ditubuhkan pada 2023 oleh lima organisasi berperanan mempromosikan dasar, piawaian dan amalan terbaik perlindungan kanak-kanak di samping memperkukuh kesedaran, pendidikan, latihan dan advokasi.
“Kami percaya perlindungan kanak-kanak bukan sekadar dasar yang perlu dilaksanakan tetapi budaya yang mesti diterapkan oleh semua pihak,” katanya.
Menurut Sonia persidangan itu bertujuan meningkatkan pemahaman masyarakat mengenai perlindungan kanak-kanak serta merangka cadangan praktikal bagi memperkukuh usaha perlindungan di Sabah.
Sepanjang persidangan peserta membincangkan pelbagai isu termasuk undang-undang perlindungan kanak-kanak, sistem pelaporan kes penderaan dan pengabaian, advokasi hak kanak-kanak, keselamatan dalam talian, buli siber, eksploitasi digital, kesihatan mental, kemiskinan serta akses kepada perkhidmatan asas bagi kanak-kanak yang terdedah.
Persidangan itu diakhiri dengan gesaan bersama supaya kerjasama rentas sektor diperkukuh, langkah pencegahan diberi keutamaan dan kepentingan terbaik kanak-kanak dijadikan asas dalam setiap dasar, program serta keputusan yang memberi kesan kepada kehidupan mereka.
Sonia berharap semua peserta pulang dengan komitmen baharu dan kerjasama yang lebih erat demi membina komuniti yang lebih selamat untuk setiap kanak-kanak di Sabah.