Kota Kinabalu: Mahkamah Koroner pada Isnin diberitahu bahawa tiada bukti kukuh menunjukkan Allahyarham Zara Qairina Mahathir mengalami kemurungan klinikal, kebimbangan melampau, penyakit mental serius atau berisiko tinggi membunuh diri ketika berusia antara tujuh hingga 12 tahun.
Pakar Psikologi Kanak-Kanak dan Kaunselor Berdaftar Dr Noor Aishah Rosli berkata penilaiannya mendapati tiada bukti bahawa Zara mempunyai niat bunuh diri yang berterusan, dirancang atau berpanjangan sebelum memasuki sekolah menengah.
Beliau berkata isu berkaitan tingkah laku “barcode” iaitu perbuatan mencederakan diri tanpa niat membunuh diri (non-suicidal self-injury) tidak seharusnya ditafsirkan secara automatik sebagai bukti niat untuk membunuh diri.
Sebaliknya katanya tingkah laku sedemikian perlu difahami dalam konteks perkembangan remaja, pengaruh rakan sebaya, trend semasa serta cara meluahkan tekanan emosi yang masih belum matang.
“Pada pandangan saya, episod yang dilaporkan tidak mencukupi untuk menyokong kesimpulan bahawa Zara mempunyai niat bunuh diri yang berterusan, dirancang atau berlanjutan,” katanya ketika membacakan penyataan saksi di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Dr Noor Aishah yang merupakan deponen ke-76 dalam inkues itu turut menjelaskan bahawa pada 2025, Zara memasuki Tingkatan Satu di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha (SMKATDM) sekaligus melalui fasa peralihan besar apabila memilih tinggal di asrama dan berjauhan daripada ibunya buat kali pertama.
Menurut beliau Zara mendaftar di sekolah berkenaan dan memasuki asrama pada 18 Februari 2025.
“Perubahan ini melibatkan persekitaran baharu, rakan-rakan baharu, sistem asrama, disiplin sekolah, hubungan dengan pelajar senior serta perpisahan secara fizikal daripada ibunya.
“Walaupun peralihan itu besar, maklumat awal menunjukkan Zara teruja memulakan kehidupan baharu di sekolah menengah dan asrama. Dia aktif mencari rakan baharu, menyesuaikan diri dengan kehidupan di asrama dan menunjukkan keinginan untuk menyerlah secara positif,” katanya.
Beliau berkata ketika berada di asrama Zara digambarkan sebagai seorang pelajar yang ceria, peramah dan aktif, mudah bergaul, gemar berbual, bergurau serta berkongsi makanan dengan rakan-rakan.
Selain itu Zara juga menunjukkan minat memikul tanggungjawab seperti membantu aktiviti keagamaan dan bercita-cita menjadi anggota Badar (Badan Dakwah dan Rohani) pada masa hadapan.
Bagaimanapun Dr Noor Aishah berkata Zara turut berdepan beberapa tekanan interpersonal sepanjang berada di sekolah menengah dan asrama.
Antaranya melibatkan hubungan dengan rakan sebaya, persepsi negatif daripada segelintir pelajar, ejekan, pelabelan, isu pelajar lelaki yang meminatinya, hubungan dengan pelajar senior, kehilangan barangan serta teguran atau tekanan sosial daripada rakan-rakan.
“Dalam penilaian saya faktor-faktor situasi dan hubungan interpersonal ini perlu diberi perhatian serius kerana ia berlaku lebih hampir dengan insiden berbanding isu berkaitan sejarah perkembangan awal Zara,” katanya.