Sat, 18 Jul 2026
Headlines:
Tiga pekerja di Sabah terima faedah Lindung 24 Jam
Published on: Saturday, July 18, 2026
Published on: Sat, Jul 18, 2026
Text Size:
Text:
Tiga pekerja di Sabah terima faedah Lindung 24 Jam
DARI kiri: Nor Faliqh Farhan Hasswandi, Rohmi Rani dan Roslan Jamiri.
Kota Kinabalu: Tiga pekerja di Sabah yang cedera dalam kemalangan berasingan di luar waktu bekerja menerima perlindungan menerusi Skim Lindung 24 Jam Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), sekali gus membuktikan perlindungan menyeluruh yang disediakan skim itu melangkaui kemalangan di tempat kerja.

“Kes-kes ini menunjukkan Lindung 24 Jam terus berperanan sebagai jaringan keselamatan sosial yang penting dengan menyediakan rawatan perubatan dan faedah penggantian pendapatan kepada pencarum yang layak sekiranya mengalami kemalangan bukan berkaitan pekerjaan,” menurut Perkeso dalam kenyataan pada Jumaat.

Advertisement
Kes pertama membabitkan Nor Faliqh Farhan Hasswandi, 20, seorang pekerja pasar raya yang mengalami kecederaan serius selepas motosikal yang ditungganginya terbabas.

Perkeso mengesahkan dia layak menerima Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS) di bawah Lindung 24 Jam, yang turut dikenali sebagai Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja.

SPONSORED CONTENT
The 2026 D-MAX also introduces an 8-speed automatic gearbox with sequential shift across the range, including the Single Cab variant, making it the first pick-up truck in Malaysia to offer an automatic transmission in that body style.
Semakan Perkeso mendapati Nor Faliqh merupakan pencarum aktif di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) sejak 1 Sept 2024.

Perkeso meluluskan bantuan berjumlah RM3,921 bagi menampung kos rawatan perubatan, implan serta penggantian pendapatan sepanjang tempoh hilang upaya sementara.

Advertisement
“Bantuan ini mencerminkan kepentingan caruman keselamatan sosial dalam memastikan pencarum menerima perlindungan kewangan dan perubatan apabila berlaku insiden yang tidak dijangka,” menurut kenyataan itu.

Kemalangan itu berlaku kira-kira 11.30 malam pada 6 Jun ketika Nor Faliqh dalam perjalanan pulang selepas menghantar barangan ke rumah rakannya di Kampung Padang Berempah, Sipitang.

Advertisement
Dia mengalami patah tulang paha kiri serta beberapa kecederaan lain sebelum dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth di sini.

Selain menerima faedah penggantian pendapatan bagi cuti sakit dari 7 hingga 13 Jun, dia juga dijadualkan menjalani rawatan susulan di hospital berkenaan.

Sementara itu, Rohmi Rani, 26, dari Tenom turut layak menerima faedah Lindung 24 Jam selepas mengalami kecederaan melecur dalam kemalangan di rumah.

Rohmi mengalami kecederaan melecur pada muka dan kedua-dua tangan akibat letupan gas ketika membakar sisa buangan di rumahnya pada 25 Jun. Selepas menerima rawatan awal di Klinik Kesihatan Kemabong, dia dirujuk ke Hospital Tenom untuk rawatan lanjut.

Dia layak menerima FHUS berjumlah RM180 bagi tempoh cuti sakit dari 26 Jun hingga 5 Julai.

Perkeso berkata pihaknya akan terus memantau perkembangan pemulihan kedua-dua pencarum itu dan menyediakan perkhidmatan rehabilitasi sekiranya diperlukan bagi membantu mereka kembali bekerja.

Kes ketiga membabitkan Roslan Jamiri, 23, seorang tukang masak hotel yang patah lengan kiri dalam kemalangan motosikal ketika dalam perjalanan bertemu rakannya di Bundusan pada 26 Jun.

Roslan diluluskan menerima FHUS berjumlah RM702 bagi tempoh cuti sakit dari 26 Jun hingga 3 Ogos.

Perkeso berkata kes-kes berkenaan menunjukkan perlindungan yang disediakan bukan sahaja meliputi kemalangan jalan raya, malah pelbagai insiden tidak dijangka yang berlaku di luar tempat kerja.

Menerusi Lindung 24 Jam, pencarum dilindungi di mana sahaja mereka berada, termasuk ketika berada di rumah atau bercuti di dalam Malaysia.

Perkeso menggalakkan semua pekerja dan majikan yang layak untuk terus mencarum bagi memastikan mereka mendapat akses kepada bantuan kewangan, rawatan perubatan dan sokongan rehabilitasi sekiranya berlaku kemalangan tidak dijangka.
* Follow us on our official WhatsApp channel and Telegram for breaking news alerts and key updates!

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
Advertisement
Share this story
Advertisement
Advertisement
Follow Us  
           
Daily Express News  
© Copyright 2026 Sabah Publishing House Sdn. Bhd. (Co. No. 35782-P)
close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
Try 1 month for RM 18.00
open
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here