Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 42 tahun yang dijatuhi hukuman penjara 21 tahun dan 12 sebatan kerana merogol anak kandungnya yang masih di bawah umur gagal dalam rayuannya terhadap sabitan serta hukuman tersebut.
Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Ratanah Devi Yusof Perumal menolak rayuan itu dan mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen.
Advertisement

Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa antara lain di bawah Seksyen 17 dan 18 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, mangsa kanak-kanak dianggap sebagai saksi yang kompeten dan sabitan boleh dibuat berdasarkan keterangan kanak-kanak itu walaupun tanpa sokongan keterangan lain.
Mahkamah turut mendapati bahawa dalam kes ini, keterangan mangsa disokong oleh keterangan saksi pendakwaan kedua, ketiga dan kelima.
Ratanah berpendapat mangsa merupakan saksi yang boleh dipercayai dan konsisten serta berpuas hati bahawa tiada alasan untuk mengganggu dapatan Mahkamah Sesyen.
“Rayuan ditolak dan sabitan serta hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen dikekalkan,” katanya.
Advertisement

Pada 13 Jun 2025 perayu dijatuhi hukuman penjara 21 tahun dan 12 sebatan selepas didapati bersalah selepas perbicaraan penuh, atas pertuduhan merogol anak kandungnya yang berusia 11 tahun di sebuah rumah di sebuah kampung di Inanam pada jam 1.57 petang, 30 Disember 2021.
Kesalahan itu melibatkan persetubuhan secara menyalahi undang-undang dengan seorang kanak-kanak yang tidak boleh dikahwini oleh tertuduh mengikut undang-undang, agama, adat atau kebiasaan. Dia didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan.
Mahkamah Sesyen turut memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling pemulihan sepanjang tempoh pemenjaraannya mengikut Seksyen 295A Kanun Tatacara Jenayah serta berada di bawah pengawasan polis selama tiga tahun selepas selesai menjalani hukuman penjara mengikut Seksyen 295(1A) kanun yang sama.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh sabitan. Bagaimanapun tertuduh berjaya memperoleh penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.
Perayu diwakili peguam Nurul Rafeeqa Afdul Mutolip manakala Timbalan Pendakwa Raya Lovely Natasha Charles mewakili pihak pendakwaan sebagai responden.