Kota Kinabalu: Seramai 28 individu dijatuhi hukuman penjara dan denda oleh Mahkamah Sesyen pada Selasa selepas mengaku bersalah atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen.
Kesemua mereka mengaku bersalah secara berasingan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Hurman Hussain.
Advertisement

Daripada jumlah itu 24 individu masing-masing dihukum penjara empat bulan kerana memasuki Sabah tanpa dokumen perjalanan yang sah.
Kesemua tertuduh terdiri daripada 14 wanita dan 10 lelaki disabitkan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Kesalahan memasuki negeri ini tanpa dokumen perjalanan yang sah boleh dihukum denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali serta sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.
Mereka ditahan dalam operasi berasingan di sekitar bandar raya ini dan Keningau baru-baru ini selepas gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri.
Advertisement

Sementara itu empat lelaki lain masing-masing didenda RM500 atau dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda kerana melanggar syarat Pas Lawatan Sosial Sementara mereka.
Keempat-empat mereka ditahan di sekitar bandar raya ini dalam satu operasi baru-baru ini selepas didapati melanggar syarat pas yang dimiliki.
Selepas selesai menjalani hukuman penjara, semua mereka diperintahkan supaya diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.
Dalam kes berasingan seorang lelaki warga Pakistan didenda RM10,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda kerana tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan di Sabah.
Lelaki itu ditahan di sekitar bandar raya ini baru-baru ini selepas didapati mengemukakan pasport yang telah tamat tempoh.
Seorang lagi lelaki warga Pakistan yang berdepan pertuduhan sama akan disebut semula pada 10 Ogos.
Mahkamah menangguhkan kesnya sementara menunggu jurubahasa bahasa Pashto serta pengesahan dokumen miliknya.
Sementara itu tertuduh diperintahkan supaya terus ditahan sehingga kesnya selesai.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Imigresen Baxter Junior Goh dan Mohd Hairul Bona.