PUTRAJAYA: Permohonan pendaftaran subsidi diesel di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) bagi sektor baharu Pengangkutan Darat (Persendirian Syarikat – Jip dan Pikap) dibuka mulai Jumaat.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kelayakan subsidi bagi sektor itu akan berkuat kuasa mulai 15 Julai 2026, tertakluk kepada kelulusan permohonan serta pemilikan fleet card.
Beliau berkata, antara syarat kelayakan ialah kenderaan mesti didaftarkan sebagai kenderaan perniagaan dengan Kelas/Kod Kegunaan Persendirian Syarikat (AE) dalam sistem MySikap Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Selain itu, perniagaan hendaklah berdaftar di bawah pemilikan tunggal atau perkongsian melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau pihak berkuasa tempatan bagi Sabah dan Sarawak.
“Peluasan skim ini disasarkan untuk membantu peniaga mikro dan kecil yang menjalankan perniagaan di bawah pemilikan tunggal serta perkongsian.
“Sehubungan itu, pemilik perniagaan yang layak digesa mengemukakan permohonan segera menerusi portal MySubsidi pada https://mysubsidi.kpdn.gov.my,” katanya dalam kenyataan di sini, Jumaat.
Dalam perkembangan sama, Armizan berkata penyaluran subsidi diesel secara bersasar ketika ini dilaksanakan menerusi beberapa mekanisme mengikut kumpulan sasar, termasuk Budi Diesel bagi individu, Budi Agri-Komoditi untuk petani, penternak dan pekebun kecil, Skim Subsidi Diesel Nelayan serta SKDS.
Katanya, di bawah SKDS, subsidi diesel disalurkan kepada entiti perniagaan, syarikat dan koperasi yang layak di seluruh negara melalui kaedah fleet card dengan kuota tetap mengikut jenis badan, kelas kegunaan dan kategori teknikal kenderaan.
“Dengan penambahan sektor Pengangkutan Darat (Persendirian Syarikat – Jip dan Pikap), SKDS kini meliputi tiga sektor utama iaitu Pengangkutan Darat (Awam), Pengangkutan Darat (Barangan Keperluan Pengguna) dan sektor baharu berkenaan, membabitkan keseluruhan 35 jenis kenderaan serta kelas kegunaan yang layak menerima subsidi,” katanya.