BEAUFORT: Pasangan pengantin baharu di sini mencuri perhatian ramai apabila rombongan keluarga pengantin menyewa kereta api khas bagi membawa mereka pulang ke kampung selepas selesai upacara pemberkatan di sebuah gereja.
Rakaman video yang dimuat naik oleh pengguna laman sosial, Theresa Baratus di Facebook pada Jumaat lalu memaparkan pasangan pengantin, bersama ahli keluarga serta tetamu, menaiki kereta api berkenaan sebelum memulakan perjalanan menuju kediaman pengantin perempuan untuk majlis perkahwinan.
Menurut perkongsian tersebut, kereta api berkenaan turut berhenti di Stesen Kampung Halogilat bagi mengambil tetamu lain sebelum meneruskan perjalanan merentasi laluan yang menyajikan panorama memukau, termasuk keindahan Sungai Padas, yang terkenal dengan landskap semula jadi.
Sepanjang perjalanan, suasana bertambah meriah apabila penumpang bersama-sama menyanyi, bergelak ketawa dan menikmati pengalaman yang cukup istimewa, sekali gus menjadikan perjalanan singkat itu sebagai sebahagian daripada memori indah dengan meraikan hari bersejarah pasangan mempelai.
Setibanya di destinasi, pasangan pengantin bersama rombongan disambut penuh adat dan tradisi dengan paluan gong yang bergema, sebelum diiringi ke rumah pengantin perempuan bagi meneruskan majlis persandingan dalam suasana penuh kemeriahan.
Tidak hairan, keunikan sambutan itu mencetuskan perhatian netizen di media sosial, yang ramai meluahkan rasa kagum terhadap kreativiti keluarga pengantin dalam mengangkat keistimewaan pengangkutan kereta api sebagai sebahagian daripada adat meraikan hari bahagia.
Ramai menyifatkan pengalaman menaiki kereta api itu bukan sahaja jarang disaksikan, malah menjadi simbol keakraban masyarakat Sabah yang berjaya menggabungkan unsur tradisi, keindahan alam semula jadi dan nilai kekeluargaan melalui sebuah majlis perkahwinan.