Kota Kinabalu: Sebanyak 95 taman asuhan kanak-kanak (taska) di Sabah didapati beroperasi tanpa lesen, kata Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki.
Bagaimanapun, beliau berkata kebanyakan taska berkenaan sedang dalam proses pendaftaran serta menunggu kelulusan atau pembaharuan lesen daripada pihak berkuasa tempatan.
Menurutnya, beberapa permohonan masih belum diluluskan berikutan syarat yang lebih ketat ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan serta agensi berkaitan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Sehubungan itu, Julita menasihatkan ibu bapa supaya menghantar anak mereka hanya ke taska yang berdaftar kerana ia menawarkan tahap perlindungan yang lebih baik daripada risiko penderaan atau kecuaian penjagaan berbanding taska yang beroperasi secara tidak sah.
Beliau menjelaskan taska berdaftar tertakluk kepada peraturan dan syarat yang ketat sebelum dibenarkan beroperasi serta sepanjang tempoh operasinya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan penutupan Sambutan Hari Taska Peringkat Negeri berhampiran sini, Ahad lepas.
Julita berkata Sabah masih berdepan kekurangan taska memandangkan ketika ini hanya terdapat 230 taska berlesen yang beroperasi di seluruh negeri.
Katanya, berdasarkan statistik, jumlah kanak-kanak berusia antara sifar hingga empat tahun di Sabah dijangka mencecah 445,000 orang menjelang 2030.
“Ini bermakna kita memerlukan sekurang-kurangnya 110,000 tempat di taska di seluruh negeri bagi memenuhi keperluan tersebut menjelang tempoh itu,” katanya sambil menambah bahawa pelaburan dalam pendidikan awal kanak-kanak amat penting bagi pertumbuhan kanak-kanak serta pembangunan modal insan.
Mengulas kepentingan memilih taska berdaftar, Julita berkata aspek keselamatan di pusat berkenaan lebih terjamin kerana tertakluk kepada pemantauan berkala oleh pihak berkuasa.
Katanya, kejadian penderaan di taska yang dilaporkan media sejak kebelakangan ini membuktikan pentingnya ibu bapa memilih pusat jagaan yang sesuai untuk menjaga anak mereka ketika bekerja.
Di Sabah, semua taska diwajibkan mematuhi peraturan di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984. Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan pengusaha dikenakan tindakan termasuk premis disita atau ditutup, dikompaun atau didakwa di mahkamah.