Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah akan mendapatkan sokongan Kabinet Negeri terhadap cadangan penambahbaikan Program Subsidi Diesel Budi Madani (Budi Diesel) susulan dapatan bahawa mekanisme ketika ini belum memenuhi keperluan sebenar masyarakat luar bandar di negeri ini.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar, berkata kementeriannya telah mengadakan sesi libat urus bersama agensi Persekutuan, termasuk Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), bagi membentangkan isu yang dihadapi petani, pengusaha industri makanan serta pengusaha pengangkutan luar bandar.
Advertisement

Beliau berkata, hasil sesi libat urus itu akan dibentangkan kepada Kabinet Negeri pada 13 Sept bagi mendapatkan sokongan kerajaan negeri sebelum dikemukakan secara rasmi kepada kerajaan Persekutuan.
“Isu yang kita bangkitkan adalah berdasarkan realiti yang berlaku di luar bandar Sabah. Kita mahu Kerajaan Persekutuan memahami keadaan sebenar di lapangan sebelum mempertimbangkan penambahbaikan terhadap tadbir urus dan pelaksanaan program Budi Diesel,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU), pada Khamis.
Jamawi berkata, sesi dialog yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican, serta pegawai kanan Persekutuan itu memberi ruang kepada Sabah mengemukakan isu yang berbeza daripada situasi di Semenanjung Malaysia.
Katanya, antara perkara utama yang dibangkitkan ialah nasib pengusaha pengangkutan sekolah di luar bandar yang tidak layak menerima subsidi diesel walaupun menyediakan perkhidmatan penting kepada pelajar.
“Tidak seperti di Semenanjung Malaysia, kebanyakan daerah di Sabah tidak menggunakan bas sekolah kuning konvensional. Murid dihantar ke sekolah menggunakan pelbagai jenis kenderaan yang mungkin tidak layak menerima subsidi diesel, sedangkan perkhidmatan itu amat penting bagi memastikan mereka dapat hadir ke sekolah,” katanya.
Beliau berkata, kementerian turut membangkitkan kesan peningkatan kos diesel terhadap pemain industri makanan dan pengusaha sektor pertanian, khususnya yang beroperasi di kawasan pedalaman, yang sememangnya berdepan kos pengangkutan lebih tinggi.
Jamawi berkata, beliau telah memperoleh persetujuan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, sebelum mengadakan sesi libat urus yang menghimpunkan ketua jabatan serta agensi di bawah Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (Maffi) serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang beroperasi di Sabah.
“Kita telah menyampaikan sendiri pengalaman dan masalah yang dihadapi rakyat Sabah. Cadangan yang dikumpulkan akan dibawa ke Kabinet Negeri supaya kerajaan negeri dapat menyokong isu serta syor yang dikemukakan kementerian,” katanya.
Beliau berharap sesi libat urus itu akan membawa kepada penambahbaikan tadbir urus dan mekanisme pelaksanaan program Budi Diesel supaya lebih mengambil kira cabaran logistik dan pengangkutan yang unik di Sabah, terutama di kawasan luar bandar yang masih bergantung kepada pengangkutan berkuasa diesel.