TELUPID: Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (Mindet) menyalurkan dana berjumlah RM50,000 menerusi Tabung Khas Pembangunan Keusahawanan Mindet kepada tiga persatuan bagi memperkasa aktiviti keusahawanan di Telupid dan Pitas.
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Datuk Ewon Benedick berkata daripada jumlah tersebut Persatuan Amal Harapan Beluran menerima RM20,000, Persatuan Peniaga Telupid Sabah pula menerima RM10,000, manakala Persatuan Sukarelawan Bengkoka Pitas menerima RM20,000.
Advertisement

“Sumbangan berkenaan adalah bertujuan membantu semua persatuan terbabit melaksanakan pelbagai program keusahawanan yang memberi manfaat kepada ahli serta masyarakat setempat, termasuk usahawan tamu desa sekali gus meningkatkan penyertaan dalam aktiviti ekonomi,” katanya sempena lawatan kerja ke Bengkoka dan Telupid pada Sabtu.
Melalui lawatan ke Bengkoka Ewon turut meninjau Projek Tamu Desa Bongkol yang siap dibangunkan menerusi peruntukan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) pada tahun lalu.
Menurutnya projek berkenaan kini dimanfaatkan oleh komuniti usahawan tempatan yang menjalankan perniagaan setiap hari Sabtu selain menyediakan kemudahan yang lebih selesa dan tersusun kepada peniaga serta pengunjung.
“Projek Tamu Desa merupakan antara inisiatif di bawah Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara yang saya perkenalkan ketika menerajui Kuskop bagi memperkukuh pembangunan keusahawanan serta merancakkan aktiviti ekonomi di kawasan luar bandar.
“Kita akan terus membantu usahawan dan memperkukuh ekosistem keusahawanan menerusi penyediaan bantuan, kemudahan serta kerjasama strategik termasuk melalui Dana Khas Pembangunan Keusahawanan Mindet.
“Ini bagi memastikan lebih ramai usahawan terutamanya di luar bandar berpeluang mengembangkan perniagaan dan meningkatkan taraf ekonomi mereka,” jelas beliau.