Kota Kinabalu: Pengusaha pelancongan di Sabah digesa beralih kepada penggunaan tenaga solar sebagai alternatif kepada diesel bagi memperkukuh amalan kelestarian dan meningkatkan pengalaman pelancong.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri merangkap Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Datuk Joniston Bangkuai (gambar), berkata penyelesaian tenaga boleh diperbaharui amat penting terutama bagi destinasi pelancongan di kawasan pedalaman yang masih berdepan cabaran mendapatkan bekalan elektrik yang stabil.
“Peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui, termasuk tenaga solar, bukan sahaja mengurangkan impak terhadap alam sekitar, malah menyokong pengalaman pelancongan yang semakin menjadi pilihan pelancong masa kini,” katanya ketika merasmikan Bengkel Powering Sabah’s Low Carbon Future di sebuah hotel di sini, Ahad.
Joniston berkata pelancong kini semakin peka terhadap isu alam sekitar dan lebih cenderung memilih destinasi yang benar-benar komited terhadap amalan lestari.
Menurutnya, aset pelancongan terbesar Sabah ialah keindahan alam semula jadi dan biodiversitinya, termasuk hutan hujan, Gunung Kinabalu, pulau-pulau, khazanah marin, hidupan liar serta pengalaman komuniti yang autentik, yang perlu terus dipelihara.
Joniston berkata banyak destinasi pelancongan seperti rumah penginapan eko di sepanjang Sungai Kinabatangan, resort pulau dan pusat peranginan alam semula jadi terletak di kawasan terpencil yang sekian lama berdepan masalah bekalan tenaga.
Katanya, penggunaan tenaga bersih bukan sekadar mengurangkan jejak karbon, malah mampu mewujudkan pengalaman unik kepada pengunjung.
“Bayangkan pelancong menginap di hutan hujan Sabah yang menggunakan tenaga bersih, menikmati bunyi alam tanpa gangguan bunyi penjana elektrik, sekali gus menjadikan kelestarian sebahagian daripada pengalaman pelancongan.
“Itulah pengalaman yang mampu membezakan sesuatu destinasi daripada yang lain,” katanya.
Beliau berkata kelestarian berkait rapat dengan identiti dan masa depan Sabah, justeru pemeliharaan aset semula jadi penting bagi memastikan negeri itu kekal berdaya saing sebagai destinasi pelancongan.
Joniston berkata inisiatif itu selaras dengan agenda Sabah Maju Jaya (SMJ) yang memberi penekanan kepada pembangunan negeri yang berdaya tahan, progresif dan mampan.
Katanya, penggunaan tenaga yang lebih bersih turut memberi manfaat kepada komuniti, perniagaan dan industri melalui bekalan tenaga yang lebih stabil serta mampan.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan pengusaha pelancongan dan pemain industri mengamalkan pendekatan lestari bagi mengukuhkan perniagaan serta meningkatkan pengalaman pelawat.
Joniston turut mendedahkan bahawa beliau telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, serta Penasihat Ekonomi Negara, Tan Sri Noor Azlan Ghazali, bagi membincangkan isu subsidi diesel dan cabaran yang dihadapi industri pelancongan.
“Mereka bersetuju supaya kita meneroka penggunaan tenaga solar secara agresif sebagai alternatif yang berdaya maju,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan peralihan itu perlu diterajui sektor swasta, manakala kerajaan berperanan sebagai pemudah cara.
“Kerajaan boleh membantu memudah cara, namun sektor swasta perlu memainkan peranan utama dalam transformasi ini,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada ESL EcoEnergy dan Huawei atas penganjuran bengkel itu yang disifatkan sebagai platform penting untuk kerajaan, pemain industri dan komuniti meneroka penyelesaian praktikal ke arah penggunaan tenaga lebih bersih serta menyokong usaha Sabah menuju masa depan yang lebih hijau.