Kota Kinabalu: Wakil daripada 10 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berikrar memperkukuh usaha melindungi kanak-kanak sejurus Persidangan Sulung Perlindungan Kanak-Kanak Sabah 2026 melabuhkan tirainya dengan komitmen bersama membina komuniti lebih selamat untuk kanak-kanak di seluruh negeri.
Para peserta berdiri dan berganding tangan pada sesi penutup sambil mengulangi ikrar yang dipimpin dari pentas: “Kami akan membina komuniti yang melindungi bersama.”
Pengerusi Child Safeguarding Initiative (CSI) Sabah Sonia Chin berkata beliau berharap persidangan itu menjadi titik permulaan kepada usaha jangka panjang dalam memperkukuh perlindungan kanak-kanak di Sabah serta menggesa lebih ramai individu dan organisasi menyertai gerakan tersebut.
“Organisasi yang berada di pentas hari ini mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang dan setiap satu memainkan peranan penting,” katanya.
Persidangan itu berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Sabtu lalu.
Naib Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Datuk Mariati Robert berkata perlindungan kanak-kanak merupakan hak asasi yang perlu dipelihara oleh seluruh masyarakat terutama bagi golongan kanak-kanak yang terdedah kepada risiko.
“Suhakam sentiasa bersedia memberi nasihat kepada kerajaan sekiranya terdapat keperluan untuk mengemas kini undang-undang,” katanya.
Wakil Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) Lee Siow Ling pula menggesa kerajaan negeri, pertubuhan masyarakat sivil dan komuniti menterjemahkan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak kepada tindakan yang nyata.
Beliau menyatakan Unicef akan bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita serta agensi berkaitan bagi berkongsi dapatan Indeks Kesejahteraan Kanak-Kanak Sabah selain melatih organisasi masyarakat sivil menggunakan data tersebut untuk tujuan advokasi.
Sesi gesaan bertindak itu diselaraskan oleh CSI Sabah, sebuah majlis kerjasama yang ditubuhkan pada Mei 2024 hasil gabungan beberapa NGO dan persatuan.
Antara anggota pengasasnya ialah Persatuan Tadika Sabah (PTS), Persatuan C.H.I.L.D. Sabah, Advocates for Non-discrimination and Access to Knowledge (ANAK), Persatuan Perkhidmatan Taska Sabah (PPTS) dan Pacos Trust, manakala Good Shepherd Services serta Kinabalu International School menyertai gabungan itu kemudian.
Wakil Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah (MPMS) Joeanne Lee berkata membesarkan seorang kanak-kanak memerlukan usaha kolektif semua pihak dan menggesa semua pemegang taruh bekerjasama mencari penyelesaian serta memperkukuh budaya perlindungan.
Wakil PTS Azalene Quadra berkata persatuan itu terus komited meningkatkan mutu pendidikan awal kanak-kanak melalui latihan kepada guru serta penyediaan bahan “Keep Kids Safe” yang membantu kanak-kanak mengenal pasti situasi tidak selamat.
Wakil PPTS Ivy Benjamin berkata pihaknya akan terus menyokong pengusaha taska dan pendidik dalam mewujudkan persekitaran yang selamat serta bebas daripada penderaan, pengabaian dan eksploitasi.
Wakil ANAK Anne Baltazar berkata setiap kanak-kanak berhak membesar dalam keadaan selamat serta mendapat akses kepada perkhidmatan tanpa mengira kewarganegaraan atau status dokumentasi mereka sambil menegaskan bahawa perlindungan kanak-kanak ialah tanggungjawab bersama.
Wakil Pacos Trust Anne Lasimbang berkata organisasi itu akan terus memperkukuh sistem perlindungan bagi kanak-kanak masyarakat pribumi di Sabah.
Wakil Kinabalu International School Sam Gipson berkata sekolah itu komited memajukan perlindungan kanak-kanak dalam sektor pendidikan menerusi kerjasama dengan badan pendidikan antarabangsa.
Wakil Persatuan C.H.I.L.D. Sabah Jacquelin Lingham berkata organisasinya memperjuangkan hak kanak-kanak yang terdedah kepada risiko termasuk kanak-kanak kurang upaya bagi memastikan hak mereka sentiasa dipelihara.
Sementara itu wakil Good Shepherd Services Hellvydea Baidil berkata perlindungan kanak-kanak merupakan tanggungjawab bersama yang diperkukuh melalui modul latihan bagi meningkatkan kesedaran ibu bapa dan kanak-kanak mengenai aspek keselamatan.
Pakar Program Unicef Malaysia Elaine Kong menutup sesi berkenaan dengan memimpin peserta melafazkan ikrar untuk terus komited terhadap usaha memperkukuh perlindungan kanak-kanak yang disambut dengan tepukan gemuruh.