KUDAT: Satu lagi mayat yang belum dikenal pasti identitinya ditemukan di tepi Pantai Kampung Damaran, Pulau Banggi pada Rabu.
Ia mayat kedua ditemui selepas penemuan pertama di kawasan jeti ikan Angkasa Baru, Ahad lalu
Advertisement

Ketua Polis Daerah Kudat, Supt Mohd Haris Hj Ibrahim, berkata mayat yang dipercayai seorang lelaki dewasa itu ditemukan terapung dan terdampar di tepi Pantai Kampung Damaran, Pulau Banggi di sini pada pagi Rabu.
Mohd Haris berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung penemuan mayat itu pada jam 11.30 pagi. Sepasukan anggota polis dari Balai Polis Karakit kemudiannya digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan.
Pemeriksaan ke atas mayat tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri atau barang yang boleh membantu mengenal pasti identiti mangsa.
Menurut Mohd Haris, mayat dibawa ke Hospital Kudat untuk tindakan lanjut oleh pihak hospital manakala kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Beliau memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai identiti mangsa atau kehilangan ahli keluarga supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes, Ketua Polis Balai Karakit, ASP Mohd Yassin Sagap di talian 013-5545531 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.