Pendekatan menyeluruh yang menumpukan kepada pendidikan, pembangunan kemahiran dan kesejahteraan sosial diperlukan bagi menangani isu melibatkan komuniti Pala’u di Lahad Datu demi manfaat penduduk tempatan serta pembangunan keseluruhan negeri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Silam Datuk Dr Mohd Yusof Apdal berkata perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan 2026 tidak seharusnya hanya tertumpu kepada peruntukan kewangan, sebaliknya perlu mengambil kira realiti sosial yang masih dihadapi masyarakat di pantai timur Sabah.
“Isu sosioekonomi dan kemanusiaan membabitkan komuniti itu telah berlarutan sejak sekian lama tanpa penyelesaian yang tuntas.
“Saya tidak boleh mengabaikan isu melibatkan komuniti Pala’u, gelandangan, penyalahgunaan dadah serta kanak-kanak yang hidup dalam serba kekurangan, menghidu gam di lampu isyarat dan mengemis di jalanan.
“Semua ini sepatutnya telah lama diberi perhatian serius,” katanya.
Yusof berkata peruntukan tambahan yang dimohon Pejabat Daerah Lahad Datu dan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan perlu disusuli tindakan yang jelas serta berkesan di peringkat akar umbi.
Advertisement

Menurutnya cabaran yang dihadapi komuniti Pala’u berkait rapat dengan aspek kesejahteraan sosial, keselamatan dan pembangunan negeri, justeru memerlukan pelan tindakan yang tersusun serta berjangka panjang.
“Kita tidak lagi boleh bergantung kepada langkah sementara atau bermusim. Kita memerlukan penyelesaian yang mampan, praktikal dan menyeluruh bukan sahaja untuk meningkatkan kebajikan komuniti ini, malah lebih penting bagi menjamin keharmonian, keselamatan dan peluang ekonomi rakyat Lahad Datu serta Sabah secara keseluruhan,” katanya.
Beliau mencadangkan pendidikan dijadikan asas perubahan melalui penubuhan sekolah peralihan atau hab literasi dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta agensi Persekutuan.
Katanya inisiatif itu mampu membuka peluang lebih baik kepada kanak-kanak komuniti Pala’u selain membantu mewujudkan persekitaran bandar yang lebih bersih, selamat dan kondusif.
“Fokus awal sekolah ini bukan kepada peperiksaan akademik arus perdana, sebaliknya memberi penekanan kepada kemahiran asas membaca, menulis dan mengira, di samping pendidikan sivik serta nilai kemasyarakatan.
“Pada pandangan saya langkah ini dapat mengelakkan kanak-kanak Pala’u daripada terus berkeliaran di jalanan Lahad Datu untuk mengemis selain meningkatkan kebersihan, keselamatan dan kualiti ruang awam,” ujarnya.
Yusof turut mencadangkan pelaksanaan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mikro berasaskan industri dalam bidang maritim, perikanan moden, akuakultur dan kraftangan tradisional dengan memanfaatkan kemahiran sedia ada komuniti itu dalam pelayaran serta pembinaan bot.
Menurutnya, latihan tersebut mampu melahirkan tenaga kerja mahir tempatan bagi memenuhi keperluan sektor akuakultur komersial dan pelancongan maritim di pantai timur Sabah.
Beliau turut mencadangkan sistem pemprofilan digital berpusat serta pendaftaran biometrik menyeluruh bagi komuniti Pala’u di kawasan pesisir Lahad Datu untuk membantu perancangan dasar yang lebih berkesan.
“Perkongsian data dengan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) dan Jabatan Imigresen dapat membezakan komuniti Bajau Laut tempatan daripada pendatang tanpa izin, sekali gus memperkukuh pengurusan keselamatan sempadan secara lebih sistematik,” katanya.
Pada masa sama, beliau mengesyorkan program penempatan semula secara terancang melalui pembangunan perkampungan air yang tersusun atau zon khas pesisir pantai lengkap dengan kemudahan asas serta perkhidmatan kesihatan bergerak.