Kota Kinabalu: Kota Belud telah diiktiraf sebagai sebahagian daripada Kinabalu Unesco Global Geopark (KUGGp) sejak Mei 2023 dengan pelbagai inisiatif dilaksanakan bagi memperkukuh pemuliharaan dan promosi warisan budaya daerah itu, Dewan Undangan Negeri diberitahu pada Selasa.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Dr Andi Md Shamsureezal Mohd Saina
(gambar) berkata Taman-Taman Sabah selaku agensi peneraju KUGGp telah memperkenalkan inisiatif Geopark Tamu yang menjadikan Tamu Kota Belud sebagai platform mempromosikan gastronomi, pakaian tradisional, kraftangan, persembahan kebudayaan, produk tempatan serta geoproduk berasaskan komuniti di samping meningkatkan nilai pelancongan dan menjana manfaat ekonomi kepada masyarakat setempat.
Advertisement

Beliau berkata inisiatif itu dilaksanakan secara kolaboratif menerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pemerkasaan Komuniti Daerah Kota Belud membabitkan Pejabat Daerah Kota Belud, Majlis Daerah Kota Belud, Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah, Lembaga Pelancongan Sabah, Muzium Sabah serta komuniti tempatan bagi memperkukuh usaha memelihara dan mempromosikan warisan budaya daerah berkenaan.
Menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tempasuk Datuk Mohd Arsad Bistari, Andi berkata cadangan untuk mengiktiraf Tamu Kota Belud sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco memerlukan penyelidikan yang komprehensif, persediaan yang rapi serta proses yang panjang.
Katanya, antara syarat utama ialah kajian terperinci terhadap warisan budaya ketara dan tidak ketara, pendokumentasian sumber warisan termasuk sebarang struktur atau tinggalan sejarah berkaitan, penyediaan bukti sejarah dan saintifik yang kukuh serta pembuktian Outstanding Universal Value (OUV) berdasarkan kriteria yang ditetapkan Unesco.
“Sebarang cadangan pencalonan juga perlu melalui proses pengenalpastian, pendokumentasian dan pengiktirafan di peringkat negeri serta kebangsaan mengikut undang-undang dan mekanisme warisan sedia ada sebelum boleh dipertimbangkan untuk pencalonan kepada Unesco,” katanya.
Advertisement

Menjawab soalan tambahan daripada Adun Bugaya Jamil Hamzah sama ada kementerian akan menyediakan pelan pencalonan Unesco bagi warisan budaya masyarakat Bajau di Semporna, termasuk seni pembuatan perahu lepa tradisional, tradisi pelayaran dan budaya pesisir pantai, Andi berkata cadangan itu akan dinilai.
“Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, perkara ini memerlukan kajian yang menyeluruh serta persediaan yang panjang. Kementerian akan menilai semula cadangan itu dan memaklumkan kepada Adun Bugaya mengenainya,” katanya.