Fri, 10 Jul 2026
Headlines:
Jamawi mahu Budi Diesel untuk pengusaha tani muda
Published on: Thursday, July 09, 2026
Published on: Thu, Jul 09, 2026
By: R Gonzales
Text Size:
Text:
Jamawi mahu Budi Diesel untuk pengusaha tani muda
KIULU: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Jamawi Jaafar (gambar) mahu syarat kelayakan untuk Program Budi Diesel dikaji semula bagi membolehkan lebih ramai pengusaha muda dalam sektor pertanian, penternakan dan industri makanan menikmati subsidi daripada program itu.

Beliau berkata antara isu utama yang dibangkitkan oleh kumpulan itu ialah mereka tidak layak memohon subsidi diesel kerana kenderaan yang digunakan untuk aktiviti pertanian tidak didaftarkan atas nama sendiri. 

Advertisement
Menurutnya, keadaan itu berlaku kerana sebahagian pengusaha khususnya di luar bandar, memperoleh kenderaan melalui kaedah sambung bayar atau pembiayaan yang ditawarkan syarikat dan bukannya institusi perbankan. 

“Kita sedia maklum bahawa hanya mereka yang mempunyai hak milik kenderaan dan lesen yang sah boleh menuntut Budi Diesel. Namun di peringkat akar umbi, ramai pengusaha muda membeli kenderaan melalui sambung bayar atau pinjaman syarikat. 

SPONSORED CONTENT
The 2026 D-MAX also introduces an 8-speed automatic gearbox with sequential shift across the range, including the Single Cab variant, making it the first pick-up truck in Malaysia to offer an automatic transmission in that body style.
“Ada juga petani yang tidak mempunyai akaun bank tetapi mampu membayar ansuran bulanan kenderaan yang digunakan untuk aktiviti pertanian,” katanya kepada pemberita selepas Program Jelajah Kebun Dapur di sini.

Jamawi berkata terdapat juga pengusaha yang mendapatkan pembiayaan berdasarkan hasil jualan komoditi seperti getah namun nama kenderaan masih didaftarkan atas nama syarikat pembiayaan dan belum dapat dipindah milik kepada pengguna sebenar. 

Advertisement
“Ini antara kegusaran yang dibangkitkan oleh anak-anak muda. Kita sudah menggalakkan mereka terlibat dalam sektor pertanian, penanaman padi, penorehan getah dan pelbagai aktiviti lain.

“Apabila mereka tidak layak menerima Budi Diesel, ia melemahkan semangat mereka untuk terus mengusahakan sektor ini,” katanya.

Advertisement
Katanya, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Kewangan Persekutuan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi membincangkan isu berkenaan serta menyalurkan maklum balas daripada pengusaha di Sabah.

“Saya juga akan melibatkan semua agensi pertanian negeri dan Persekutuan untuk berdialog dan menyampaikan isu ini kepada kerajaan supaya usaha anak-anak muda dalam sektor pertanian dapat terus dibantu dan diperkasakan,” katanya.

Jamawi berkata kementeriannya juga sedang meneliti cadangan memperkenalkan konsep Kebun Dapur di sekolah-sekolah bagi meningkatkan kesedaran mengenai keterjaminan makanan dalam kalangan murid.

Menurutnya, Kementerian beliau telah mengadakan perbincangan dengan Jabatan Pendidikan Negeri susulan permintaan supaya konsep Kebun Sekolah diwujudkan berasaskan pendekatan Kebun Dapur.

“Kita mahu anak-anak memahami kepentingan makanan dan keterjaminan makanan sejak di bangku sekolah rendah lagi.

“Melalui inisiatif ini, mereka bukan sahaja dapat menghargai tanaman di sekeliling mereka, malah hasil yang diperoleh juga boleh dimanfaatkan oleh pihak sekolah,” katanya.

Menurutnya, cadangan itu menerima maklum balas positif daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pihak sekolah dan akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut peruntukan yang tersedia.

Mengenai Program Kebun Dapur, Jamawi berkata sambutan yang diterima amat menggalakkan apabila lebih 3,000 pengusaha kecil telah mengusahakan kebun di sekitar kediaman masing-masing dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Katanya, jumlah itu menghampiri sasaran lima tahun program berkenaan iaitu 5,000 peserta.

“Saya melihat mereka sangat bersemangat sehingga berkongsi hasil Kebun Dapur masing-masing di media sosial. Justeru itu, saya bercadang memperkenalkan Anugerah Kebun Dapur Terbaik bagi menghargai usaha mereka dan menjadi inspirasi kepada lebih ramai masyarakat untuk menyertai program ini,” katanya.

Beliau berkata anugerah itu berkemungkinan diperkenalkan sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri yang dijadualkan berlangsung di Tenom pada September ini.

Jamawi berkata Jelajah Kebun Dapur akan diperluaskan ke seluruh Sabah sebagai platform menyampaikan maklumat berkaitan bantuan, insentif dan program pembangunan pertanian kepada masyarakat.

Beliau berkata program itu bukan sahaja bertujuan menggalakkan budaya berkebun di kawasan rumah malah memastikan maklumat mengenai pelbagai bantuan kerajaan dapat disampaikan terus kepada golongan sasar.
* Follow us on our official WhatsApp channel and Telegram for breaking news alerts and key updates!

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
Advertisement
Share this story
Advertisement
Advertisement
Follow Us  
           
Daily Express News  
© Copyright 2026 Sabah Publishing House Sdn. Bhd. (Co. No. 35782-P)
close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
Try 1 month for RM 18.00
open
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here