Kota Kinabalu: Dua memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai pada Khamis dijangka menjadi pemangkin baharu kepada pembangunan ekonomi Sabah.
Satu ialah projek pembangunan bercampur di Tuaran dan satu lagi ialah pembangunan industri tenusu komersial berskala besar di Keningau.
Advertisement

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar, berkata kedua-dua inisiatif itu selaras dengan aspirasi pelan hala tuju Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0) yang menyasarkan peningkatan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri daripada RM85 bilion kepada RM120 bilion setahun.
Beliau berkata, sasaran itu memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, sektor swasta, agensi berkanun dan rakyat Sabah, di samping usaha mempelbagaikan ekonomi negeri daripada kebergantungan kepada sumber semula jadi kepada industri bernilai tambah tinggi.
“Sasaran KDNK RM120 bilion bukan sekadar angka, tetapi mencerminkan visi bersama untuk masa depan Sabah. Ia memerlukan kita mempercepat kepelbagaian ekonomi menerusi sektor seperti pembangunan hartanah bercampur, pertumbuhan industri dan pertanian moden termasuk industri tenusu,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani MoU di sini.
MoU pertama melibatkan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) dan K.T.I. Sdn Bhd bagi meneroka cadangan pembangunan bercampur seluas 500 ekar di Tuaran yang merangkumi lot kedai komersial, rumah teres, pangsapuri dan kawasan perindustrian.
Jamawi berkata, cadangan itu mempunyai potensi besar memandangkan Tuaran terletak di laluan utama ke utara dan timur Sabah.
“Kedudukan strategik Tuaran membolehkan daerah ini berkembang sebagai pusat persinggahan dan pertumbuhan ekonomi baharu, khususnya bagi sektor pelancongan dan perkhidmatan,” katanya.
MoU kedua pula melibatkan kerjasama antara LIGS, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (DVS Sabah) dan Farm Fresh Berhad bagi meneroka pembangunan ladang tenusu komersial berskala besar menerusi cadangan projek Keningau Dairy Valley.
Jamawi berkata, projek itu dijangka menarik pelaburan swasta serta kepakaran teknikal bagi memperkukuh industri tenusu tempatan, meningkatkan tahap sara diri negeri dalam pengeluaran susu segar, daging lembu dan produk tenusu, selain mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan serta latihan kepada penternak dan rakyat Sabah.
Beliau berkata, walaupun Sabah telah mencapai Tahap Sara Diri (SSL) 100 peratus bagi pengeluaran susu segar, keutamaan kini ialah memperluaskan kapasiti pemprosesan hiliran bagi menyokong pertumbuhan industri itu.
Tanpa kemudahan pemprosesan yang mencukupi, katanya, Sabah berisiko berdepan lebihan bekalan susu segar pada masa hadapan.
“Projek bersepadu ini bertujuan memproses lebih banyak susu tempatan kepada produk tenusu bernilai tambah sekali gus mewujudkan pasaran yang lebih mampan kepada pengeluar sedia ada serta mengukuhkan rantaian nilai industri tenusu Sabah,” katanya.
Beliau menegaskan kerjasama itu bukan bertujuan menggantikan atau bersaing dengan penternak tempatan, sebaliknya melengkapkan ekosistem sedia ada dengan menyediakan kemudahan pemprosesan kepada pengusaha yang tidak mempunyai kemampuan membina kilang sendiri.
Jamawi berkata, walaupun kedua-dua MoU itu masih merupakan pernyataan hasrat dan belum menjadi komitmen muktamad, ia merupakan langkah awal yang penting ke arah pelaksanaan projek berimpak tinggi untuk negeri ini.
“Jika berjaya direalisasikan, projek-projek ini bukan sahaja merangsang pertumbuhan ekonomi di Tuaran dan Keningau, malah menyumbang secara signifikan kepada sasaran SMJ 2.0 untuk mencapai KDNK RM120 bilion setahun.
“Ia membuktikan Sabah bukan sahaja kaya dengan sumber semula jadi, malah semakin matang dalam menarik pelaburan strategik merangkumi pembangunan hartanah, industri serta sektor pertanian dan penternakan moden,” katanya.