SANDAKAN: Tiga individu diselamatkan selepas kenderaan yang dinaiki dihempap sebatang pokok jati di Jalan Lintas Sibuga yang tumbang susulan cuaca buruk pada malam Khamis.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sandakan Kapten (PA) Sulaiman Salama berkata Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sandakan digerakkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999.
Advertisement

“Apabila tiba anggota APM mendapati sebuah kenderaan telah dihempap pokok jati tumbang dan tiga mangsa terperangkap di dalammnya.
“Pasukan berjaya mengeluarkan kesemua mangsa dengan selamat sebelum memberikan rawatan awal kepada seorang mangsa yang mengalami kecederaan ringan pada bahagian siku,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata anggota APM turut menjalankan kerja-kerja memotong dan mengalihkan pokok yang menghalang laluan bagi memastikan jalan dapat dibuka semula kepada pengguna.
Menurutnya, operasi diselesaikan dengan selamat tanpa sebarang kehilangan nyawa.
Sementara itu, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada ketika memandu terutama semasa hujan lebat atau angin kencang yang boleh meningkatkan risiko kejadian pokok tumbang.
Beliau turut menggesa orang awam supaya segera menghubungi talian kecemasan sekiranya berlaku sebarang insiden yang boleh mengancam keselamatan awam.