TAWAU: Seorang pemuda warga asing disyaki terlibat dalam kes curi pakaian dalam seorang wanita di kawasan sebuah kediaman di Kampung Haji Matahir pada awal bulan ini berjaya ditahan pada Selasa.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau Supt Wilynton Enchana Watt berkata suspek yang berumur dalam lingkungan 20-an itu ditahan kira-kira jam 10.30 malam di hadapan sebuah rumah di kampung sama hasil maklumat risikan dan siasatan polis.
“Pada awalnya pengadu yang juga suami mangsa berusia 47 tahun menyedari beberapa helai pakaian dalam milik isterinya yang disidai di luar rumah hilang ketika memeriksa kawasan kediamannya sebelum tampil membuat aduan di Balai Polis Bombalai.
“Berdasarkan aduan yang diterima berkenaan, pasukan polis kemudiannya menjalankan gerakan untuk mengesan pelaku bertanggungjawab sebelum berhasil menahan suspek,” katanya pada Rabu.
Wilynton berkata hasil soal siasat yang dijalankan membawa kepada pembongkaran lokasi barang kes disembunyikan suspek sebelum pihak polis mengesan dan merampas barangan yang disyaki mempunyai kaitan dengan kes terbabit.
Menurutnya rampasan dilakukan di kawasan semak-samun dan di dalam rumah pemuda itu membabitkan beberapa helai pakaian dalam wanita, sehelai baju berwarna hijau dan songkok hitam yang disyaki dipakai oleh suspek ketika melakukan perbuatan itu.
Advertisement

“Siasatan lanjut mendapati suspek juga tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang diperakui oleh pihak berwajib untuk bekerja dan berada di negara ini,” katanya sambil mengesahkan siasatan kes dibuka di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Tambahnya orang ramai perlu sentiasa meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan kediaman masing-masing dan menyalurkan maklumat kepada pihak polis pada kadar segera jika mengesan sebarang perlakuan mencurigakan bagi membantu usaha membanteras jenayah dengan pantas.