KERAJAAN negeri diminta memberi perhatian terhadap beberapa keperluan pembangunan di Dewan Undangan Negeri (Dun) Tempasuk khususnya membabitkan bekalan air, infrastruktur, kemudahan kesihatan dan pembangunan ekonomi luar bandar.
Adun Tempasuk Datuk Mohd Arsad Bistari berkata keutamaan perlu diberikan kepada usaha menyelesaikan masalah gangguan bekalan air melalui projek menaik taraf infrastruktur sedia ada.
Beliau mencadangkan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) menjalankan kajian kebolehlaksanaan pembinaan mini empangan atau takungan air di Sungai Takutan dan Sungai Babagon sebagai penyelesaian jangka panjang.
“Selain itu, kerajaan diharap memastikan syarikat konsesi penyelenggaraan jalan dan parit meningkatkan kecekapan pelaksanaan kerja menerusi pemantauan berkala serta tindakan segera terhadap kerosakan tanpa hanya menunggu aduan daripada rakyat,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan 2026 pada Persidangan Dun Sabah, di sini, Rabu.
Bagi merancakkan ekonomi setempat, Mohd Arsad mencadangkan Kampung Sangkir dibangunkan sebagai pusat riadah dan hab ekonomi belia menerusi penyediaan trek joging, taman rekreasi dan kemudahan awam, selain menaik taraf Bukit Rinig View sebagai pusat informasi pelancongan Tempasuk.
“Pembangunan ini mampu membuka peluang keusahawanan, mengembangkan pelancongan komuniti serta mewujudkan sumber pendapatan baharu kepada penduduk tanpa menjejaskan kawasan sawah padi sedia ada,” katanya.
Advertisement

Beliau turut memohon kerajaan memperkukuh bantuan kebajikan dengan menyediakan peralatan kesihatan seperti katil hospital, kerusi roda dan tabung oksigen bagi kegunaan pesakit kronik, warga emas serta orang kurang upaya (OKU) yang dirawat di rumah.
“Dalam keadaan tertentu hospital tidak dapat memenuhi keseluruhan keperluan pesakit luar. Saya berharap kerajaan mempertimbangkan penyediaan 10 unit katil hospital dan 15 unit kerusi roda bagi setiap kawasan DUN untuk meringankan beban keluarga yang memerlukan,” katanya.
Mohd Arsad turut meminta isu kekurangan doktor di Hospital Kota Belud dan klinik kesihatan di daerah itu diberi perhatian menerusi penambahan penempatan doktor, pengukuhan tenaga kesihatan serta peningkatan kapasiti fasiliti kesihatan dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan.
Dalam sektor pertanian, beliau memohon peruntukan tambahan bagi menaik taraf jalan ladang getah di Kota Belud dan DUN Tempasuk untuk meningkatkan produktiviti 1,715 pekebun kecil yang mengusahakan kira-kira 4,364 hektar tanaman getah.
Katanya, hasil jualan getah di kawasan itu mencecah RM5.3 juta pada tahun lalu, sekali gus membuktikan industri berkenaan kekal menjadi sumber pendapatan penting masyarakat luar bandar.
Pada masa sama, Mohd Arsad menyatakan sokongan terhadap RUU Perbekalan Tambahan 2026 berjumlah RM1.612 bilion yang disifatkannya mampu mempercepat pelaksanaan projek pembangunan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata tambahan RM700 juta kepada Kumpulan Wang Pembangunan, yang menjadikan keseluruhan dana pembangunan negeri meningkat kepada RM1.9 bilion, mencerminkan komitmen kerajaan mempercepat pembangunan infrastruktur, ekonomi dan sosial.
“Justeru, manfaat daripada RUU ini diharap dapat diterjemahkan melalui penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap serta pelaksanaan projek yang memberi impak langsung kepada rakyat, termasuk di Dun Tempasuk,” katanya.