RANAU: Seorang lelaki berumur 27 tahun didenda RM10,000 atau dipenjara enam bulan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kemalangan awal tahun ini.
Freddyvences Lumin mengaku bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang melarang seseorang memandu atau cuba memandu kenderaan bermotor dengan kandungan alkohol dalam darah melebihi had yang dibenarkan.
Mahkamah turut memerintahkannya menjalani hukuman penjara sehari bermula dari tarikh sabitan serta hilang kelayakan untuk memiliki atau mendapatkan lesen memandu selama dua tahun seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 45A(3) Akta sama.
Mengikut kertas pertuduhan, kesalahan itu berlaku pada jam 6.56 petang, 31 Januari lalu di Kilometer 2, Jalan Ranau-Tambunan, berhampiran Kampung Pasir Putih.
Freddyvences memandu sebuah Proton Saga dari Kampung Kimolohing menuju ke Kampung Mindohuon sebelum cuba memotong sebuah kenderaan lain di laluan jalan yang lurus.
Bagaimanapun, dia gagal memasuki semula lorong dengan selamat sehingga menyebabkan kenderaannya bergesel dengan sebuah kenderaan yang datang dari arah bertentangan.
Kemalangan itu mendorong pihak polis menjalankan siasatan termasuk pemeriksaan toksikologi ke atasnya bagi menentukan sama ada alkohol menjadi punca kemalangan terbabit.
Laporan toksikologi mengesahkan Freddyvences mempunyai kandungan alkohol sebanyak 151 miligram bagi setiap 100 mililiter darah melebihi had yang dibenarkan di bawah undang-undang Malaysia.
Siasatan dijalankan oleh pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau dan hasil siasatan menjadi asas kepada pertuduhan terhadap tertuduh di bawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Semasa mitigasi, dia merayu hukuman ringan.